Skip to main content

Malaysia

24 kawasan catat IPU tidak sihat, Pasir Gudang tertinggi setakat 7 pagi

Johor merekodkan jumlah kawasan tidak sihat tertinggi dengan sembilan stesen pemantauan mencatat bacaan IPU melebihi 150. - Foto fail/Sinar Harian
Johor merekodkan jumlah kawasan tidak sihat tertinggi dengan sembilan stesen pemantauan mencatat bacaan IPU melebihi 150. - Foto fail/Sinar Harian

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 24 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 7 pagi ini, dengan Pasir Gudang, Johor mencatat bacaan tertinggi iaitu 198.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Johor merekodkan jumlah kawasan tidak sihat tertinggi dengan sembilan stesen pemantauan mencatat bacaan IPU melebihi 150.

Selain Pasir Gudang, kawasan lain yang mencatat bacaan tidak sihat termasuk Larkin (179), Pengerang (175), Kota Tinggi (173), Batu Pahat (168), Tangkak (165), Segamat (159) dan Kluang (158).

Di Negeri Sembilan, Nilai merekodkan bacaan IPU 174 diikuti Seremban (170) dan Port Dickson (159), manakala di Selangor bacaan tidak sihat direkodkan di Johan Setia (173), Klang (172), Petaling Jaya (167), Shah Alam (167) dan Banting (151).

Bandaraya Melaka (170), Bukit Rambai (166) dan Alor Gajah (165) turut berada pada tahap tidak sihat.

Di Wilayah Persekutuan, Putrajaya mencatat bacaan IPU 161, manakala Cheras dan Batu Muda di Kuala Lumpur masing-masing merekodkan bacaan 160 dan 158.

Di Sabah, Sandakan mencatat bacaan IPU 154, manakala Tawau hampir memasuki kategori tidak sihat dengan bacaan 149.

Sementara itu, 43 kawasan lain berada pada tahap sederhana dengan bacaan antara 52 hingga 93, termasuk Tanjung Malim (93), Kuala Selangor (88), Seri Manjung (87), Temerloh (83), Kuantan (83) dan Kota Bharu (69).

Kapit di Sarawak merupakan satu-satunya kawasan yang merekodkan kualiti udara pada tahap baik dengan bacaan IPU 46.

Mengikut klasifikasi APIMS, bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan melebihi 300 berbahaya.

Orang ramai, khususnya golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan, dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar serta mengambil langkah melindungi kesihatan ketika keadaan jerebu masih berterusan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement