Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 24 Mac bagi pengurusan kes saman sivil yang difailkan oleh keluarga model Mongolia Altantuya Shaariibuu terhadap kerajaan Malaysia dan tiga pihak lain.

Timbalan Pendaftar Norhayati Johar menetapkan tarikh itu dalam kamarnya apabila sebutan kes dibuat hari ini.

Peguam Ram Karpal Singh, yang mewakili plaintif, ketika ditemui oleh pemberita selepas prosiding berkata beliau telah mengemukakan permohonan untuk meminda writ saman dan kenyataan tuntutan kes tersebut kepada Wisma Putra untuk membolehkannya diserahkan kepada seorang lagi defendan, Koperal Sirul Azhar Umar yang kini berada di Australia.

"Pada dasarnya, tarikh 24 Mac ditetapkan sementara menunggu status permohonan yang kami hantar kepada Wisma Putra. Jika tiada jawapan dari Wisma Putra selepas tarikh tersebut, kami akan menggunakan prosedur lain untuk menyerahkan dokumen kepada Sirul," kata beliau.

Beliau berkata notis permohonan perlu diserahkan melalui Konsulat Malaysia di Sydney, Australia sebelum ia sampai kepada Sirul.


Ekstradisi

Ramkarpal juga mahu Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menyatakan sama ada prosiding ekstradisi telah dimulakan terhadap Sirul kerana dia perlu diekstradisi untuk menghadapi proses undang-undang.

"Saya juga telah meminta Peguam Negara Australia mengesahkan sama ada prosiding ekstradisi seumpama itu telah dijalankan oleh Malaysia," kata beliau.

Keluarga Altantuya, Shaariibuu Setev dan Altantsetseg Sanjaa serta dua orang anak lelakinya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga memfailkan saman itu pada 4 Jun 2007.

Mereka menamakan pegawai Unit Tindakan Khas (UTK) Azilah dan Sirul Azhar, penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Abdul Razak dituduh bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar untuk membunuh Altantuya, 28, pada 2006.

Abdul Razak dibebaskan daripada pertuduhan pada Oktober 2008 tanpa dipanggil membela diri sementara Azilah dan Sirul Azhar didapati bersalah pada 2009.


Rayuan

Pada 23 Ogos, 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar dan membebaskan mereka daripada pertuduhan.

Bagaimanapun, pada 13 Januari 2015, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan pendakwa dan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan mendapati Sirul Azhar dan Azilah bersalah dan kedua-dua mereka kemudian dijatuhi hukuman mati.

Keluarga Altantuya dalam kenyataan tuntutan mereka, mendakwa bahawa kematiannya menyebabkan mereka mengalami trauma mental dan psikologi.

Mereka mendakwa bahawa Abdul Razak bersubahat dengan kedua-dua pegawai polis tersebut untuk membunuh Altantuya.

Mereka selanjutnya mendakwa bahawa Altantuya ditembak mati dan mayatnya diletupkan menggunakan bahan letupan C-4 oleh Azilah dan Sirul Azhar hingga berkecai di kawasan hutan di Puncak Alam, Shah Alam pada 7 November 2006.

Plaintif mendakwa antara lain bahawa akibat tindakan Azilah, Sirul Azhar dan Abdul Razak, mereka menanggung penderitaan terutama anak-anak Altantuya yang kehilangan ibu tersayang dan pencari nafkah.