KOTA TINGGI: Sekumpulan 24 nelayan asing termasuk tekong dipercayai warga Vietnam ditahan di kedudukan lebih kurang 19 batu nautika timur laut Pulau Aur di sini, pada jam 10.32 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohamad Sulhan Zainon berkata, kesemua mereka yang berumur 21 hingga 60 tahun itu ditahan semasa operasi di perairan Johor Timur oleh kapal ronda Maritim Malaysia.

Katanya semasa menjalankan operasi, pihaknya telah mengesan dua bot yang mencurigakan.

"Dua bot itu disyaki bot penangkapan ikan asing yang mempamerkan carving marking (tanda nama) seperti bot nelayan tempatan.

"Kedua-dua bot tersebut cuba melarikan diri daripada diperiksa apabila melihat bot Maritim Malaysia. Berlaku kejar-mengejar namun bot terbabit berjaya dipintas serta ditahan.

"Semasa pemeriksaan, kami mendapati sebilangan kru serta tekong gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan ditahan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Sulhan berkata rampasan dianggarkan bernilai lebih kurang RM6.4 juta termasuk kedua-dua bot, peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan laut, dan bahan bakar.

Katanya kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran sah dari Pengarah Perikanan Malaysia.

"Jika disabitkan kesalahan, tekong boleh dikenakan denda RM6 juta manakala awak-awak boleh dikenakan denda RM600,000 setiap seorang atau penjara tidak melebihi dua tahun atau keduanya, serta kedua-dua bot berserta peralatannya boleh dilucut hak.

"Kes juga akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/1963, Seksyen 6 (1)(c).

"Kesemua 24 tahanan juga telah diperiksa untuk saringan kesihatan COVID-19 sebagai langkah berjaga-jaga dalam membendung penularan wabak yang sedang melanda.

"Maritim Malaysia sentiasa serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti pencerobohan vesel penangkapan ikan asing bagi mengaut hasil laut dalam perairan negara," katanya.