Seramai 25 individu ditahan ketika sedang asyik berpesta liar dalam satu serbuan di sebuah kondominium mewah di BM City dekat Bukit Mertajam pada Khamis.

Dalam serbuan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) pada jam 7.30 pagi itu, kesemua yang ditahan berusia antara 16 hingga 33 tahun terdiri daripada penganggur dan dua pelajar pusat latihan.

Ketua Polis Negeri, Datuk Seri A. Thaiveegan berkata, pihak polis menerima laporan bahawa terdapat kumpulan berpesta di kondominium yang dijadikan sebagai inap desa.

Siasatan mendapati kumpulan terbabit mendakwa mereka menganjurkan satu sambutan harijadi buat rakan namun pemeriksaan lanjut mendapati mereka sebenarnya turut khayal kerana menghisap dadah.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar sekolah antara 46 ditahan sertai pesta liar di Taiping

ARTIKEL BERKAITAN: Bini 'outstation', laki anjur pesta seks gay


Hasil pemeriksaan lanjut mendapati seramai 21 orang, iaitu 13 lelaki dan lapan perempuan disahkan positif dadah jenis ketamin dan methamphetamine.

Katanya, siasatan masih lagi diteruskan dan kemungkinan pihak polis akan memanggil ibu bapa kepada mereka yang dibawah umur untuk membantu siasatan.

Kesemua suspek dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 sebelum dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman pada Jumaat.