NATIONAL
25 warga asing ditahan cuba keluar melalui KLIA, empat pegawai disyaki subahat - AKPS

Seramai 25 warga asing ditahan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) ketika cuba meninggalkan negara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) antara Januari hingga April tahun ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Seramai 25 warga asing ditahan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) ketika cuba meninggalkan negara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) antara Januari hingga April tahun ini.
Dalam tempoh sama, empat orang pegawai turut disiasat atas dakwaan bersubahat membantu warga asing tersebut melepasi pemeriksaan imigresen secara tidak sah.
Menurut kenyataan AKPS pada Selasa, warga asing yang ditahan terdiri daripada warganegara Vietnam, Kemboja, India dan Indonesia dan dipercayai telah tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di negara ini.
“Siasatan mendapati terdapat pengesahan masuk ke negara ini yang diperoleh tanpa mematuhi prosedur sah, hasil daripada pemeriksaan berkala serta pemantauan berterusan pihak AKPS KLIA sepanjang tempoh tersebut."Pegawai-pegawai terbabit pula dipercayai terlibat dalam amalan 'counter setting’, iaitu melepaskan individu tertentu melalui kaunter pemeriksaan tanpa melalui prosedur sah dan teratur,” kata AKPS.
Jelas agensi itu, sebarang salah laku yang menjejaskan keselamatan serta kedaulatan sempadan negara akan ditangani dengan tegas, termasuk tindakan tatatertib terhadap pegawai yang terlibat.
“AKPS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dan akan terus mempergiatkan usaha pemantauan serta memperkemas mekanisme penguatkuasaan di semua pintu masuk negara,” menurut kenyataan itu lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami