SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengumumkan 26 Okt depan sebagai Hari Kelepasan Am Gantian bagi seluruh negeri itu bersempena dengan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata pengisytiharan cuti gantian itu berikutan tarikh sambutan kemuncak serta Hari Kelepasan Am (Cuti Peristiwa) pada 25 Okt jatuh pada Ahad.
“Memandangkan tarikh tersebut jatuh pada hari Ahad, maka hari berikutnya, Isnin, 26 Okt ditetapkan sebagai Hari Kelepasan Am Gantian,” katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini hari ini.
Ahmad Fadzli berkata sambutan Jubli Perak turut dijadualkan berlangsung bermula 28 Sept hingga 1 Nov depan sebagai tanda taat setia, penghormatan dan rasa kesyukuran seluruh pentadbiran serta rakyat jelata di bawah naungan pemerintahan baginda.
“Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 20 program dan majlis rasmi telah disusun merangkumi dimensi kemasyarakatan, keagamaan, kelestarian alam sekitar, pembangunan infrastruktur serta sukan.
“Pengisian ini menggembleng kerjasama menyeluruh jabatan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, pihak berkuasa tempatan (PBT), badan berkanun, anak syarikat kerajaan negeri (GLC) serta badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.
Ahmad Fadzli berkata acara kemuncak sambutan akan berlangsung pada 25 Okt bersempena dengan genap 25 tahun pemerintahan baginda, yang melibatkan tiga istiadat utama.
Tiga istiadat berkenaan adalah Istiadat Pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama berserta 21 das tembakan, Istiadat Pemasyhuran Gelaran dan Mengangkat Sumpah serta Menjunjung Duli Orang-Orang Besar Istana dan Dato’ Diraja Selangor serta Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor.
Di samping itu, Ahmad Fadzli berkata antara program utama lain yang turut diatur dalam bentuk kemasyarakatan dan kebajikan iaitu Program Menyantuni Anak-Anak Yatim Kembara Semenanjung, Perasmian Taman Mesra Autisme, Program Larian Kita serta Majlis Jamuan Teh Diraja.
“Selain itu turut dilaksanakan program berbentuk kerohanian iaitu Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat serta Multaqa dan Forum Perdana Ehwal Islam.
“Turut diatur program berbentuk warisan dan dokumentasi sejarah antaranya Majlis Pelancaran Sampul Surat dan Setem Khas, Duit Syiling Peringatan serta pelancaran buku Menjulang Takhta,” katanya.
Bagi program berbentuk sukan dan pembangunan bakat, Ahmad Fadzli berkata antaranya yang akan dilaksanakan adalah Majlis Perasmian Kelab Polo dan Ekuestrian Selangor, Kejohanan Polo Piala Jubli Perak Sultan Selangor serta Perlawanan Liga Bola Sepak bawah 15 tahun.
Mengulas lanjut, beliau berkata rangkaian sambutan tersebut akan melabuhkan tirai pada 1 Nov menerusi Istiadat Menjunjung Duli Sempena Pemasyhuran Gelaran Orang-Orang Besar Istana dan Dato’ Diraja Selangor serta Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor.
Dalam pada itu, Ahmad Fadzli berkata bagi menzahirkan prinsip tadbir urus berhemah, kerajaan negeri menjunjung penuh titah Sultan Selangor agar keseluruhan sambutan tersebut dilaksanakan secara sederhana, berhemah dan berimpak tinggi tanpa sebarang pembaziran.
“Kerajaan negeri mendoakan agar seluruh atur cara yang dirangka berjalan lancar dan diberkati, seterusnya menjadi detik bersejarah yang memperkukuh ikatan kasih antara raja dan rakyat di negeri tercinta ini,” katanya.
-- BERNAMA