JELEBU: Sejumlah 27 infrastruktur telekomunikasi baharu bagi fasa satu di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Negeri Sembilan telah siap dibina untuk mengatasi masalah capaian liputan Internet terutamanya di kawasan luar bandar di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kesemua menara komunikasi itu berjaya didirikan sepenuhya secara berperingkat hingga akhir tahun lepas oleh syarikat dilantik Edotco Malaysia Sdn Bhd (Edotco Malaysia).

"Penyediaan perkhidmatan akses jalur lebar yang kondusif adalah keutamaan dalam menuju ke arah era pendigitalan khususnya di negeri ini kerana capaian Internet dapat memudahkan urusan harian rakyat, meningkatkan taraf sosio ekonomi masyarakat setempat serta memperkukuhkan keyakinan pelabur khususnya sektor perindustrian melalui pembangunan ekonomi digital.

"Penambahbaikan kualiti komunikasi juga wajar dilaksanakan dari semasa ke semasa khususnya bagi penduduk di kawasan luar bandar yang memerlukan kemudahan Internet mampan seperti yang dinikmati oleh penduduk bandar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemuktamadan Pembinaan 27 Menara Telekomunikasi Baharu Pelan JENDELA Fasa Satu Negeri Sembilan di Kampung Rambai Baris di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Zafir Ibrahim, Exco Kanan Datuk Seri Jalaluddin Alias, Ketua Bahagian Koordinasi Negeri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Bukhari Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EDOTCO Adlan Tajudin.

Aminuddin berkata MCMC negeri antara 10 agensi di Negeri Sembilan yang proaktif dalam menjayakan hasrat kerajaan melalui Pelan JENDELA yang merupakan asas kepada peralihan infrastruktur komunikasi lebih baik, menyediakan liputan perkhidmatan jalur lebar menyeluruh dan berkualiti tinggi.

"Selain itu pelaksanaan inisiatif JENDELA ini selaras dengan visi kerajaan negeri melalui Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan 2025 (RPNS 2025). Jalinan strategik bagi pelaksanaan JENDELA Fasa 1 tidak terhenti di sini dan memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak," katanya.

Beliau berkata lapan daripada 27 menara telekomunikasi itu telah beroperasi, manakala baki 19 menara kini dalam proses pemasangan peralatan telekomunikasi termasuk penyediaan infra gentian optik bagi menghubungkan data komunikasi dari satu menara ke menara lain.

"Mengikut perancangan baki 19 menara telekomunikasi itu akan beroperasi sepenuhnya pada penghujung tahun ini, namun kerajaan negeri berharap ia dapat disegerakan sekurang-kurangnya pertengahan atau suku ketiga tahun ini.

"Selain itu saya juga berterima kasih kepada MCMC kerana telah mendapat 26 lagi kawasan baharu di bawah inisiatif Pelan Jendela, keutamaanya adalah kawasan luar bandar dan kita akan lihat dahulu kawasan terpilih tersebut," katanya.

Sementara itu Bukhari berkata lapan menara telekomunikasi telah beroperasi sepenuhnya ialah di Kampung Tarun, Seremban; Kampung Ulu Pondoi, Tampin; Taman Albury, Nilai; Kampung Sepam, Jelebu; Kilang Sawit Serting Hilir, Jempol; Kampung Jumbang, Kuala Pilah; Kampung Ayer Hitam, Port Dickson dan Kampung Rambai Baris, Jelebu.

Menurutnya pencapaian JENDELA di negeri ini merekodkan tahap memberangsangkan dengan liputan Internet mencapai 98.35 peratus di kawasan berpenduduk iaitu melepasi sasaran nasional 97.07 peratus pada tahun lepas.

Dalam pada itu Adlan berkata pihaknya memahami kepentingan projek tersebut dan berharap usaha itu dapat membantu operator rangkaian mudah alih memperluaskan liputan 4G di kawasan luar bandar sekali gus memanfaatkan pengguna.

"Kami berbesar hati kerana dapat merealisasikan agenda kerajaan dalam memperluaskan kesalinghubungan digital untuk rakyat di negeri ini. Kami berbangga dapat menjadi rakan strategik bagi inisiatif ini dan menawarkan kepakaran dalam menyediakan kemudahan infrastruktur," katanya.

-- BERNAMA