Skip to main content

Malaysia

28 mangsa pelaburan emas buat laporan polis

41467009877_Gold.jpg
Sekumpulan 28 individu pada Sabtu membuat laporan polis mendakwa ditipu oleh Yayasan Amanah Niaga Kebangsaan Malaysia berhubung pelaburan wang melibatkan kerugian kira-kira RM4.7 juta.

Mereka yang mendapatkan bantuan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendakwa mula melabur pada 2016 dengan pulangan yang dijanjikan antara 20 dan 35 peratus setiap bulan.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu di sini, seorang mangsa, Mohd Zulkifli  Ahamad, 58, berkata pada peringkat awal, dia menerima pulangan pelaburan pada setiap bulan  namun bermula Februari 2017 syarikat gagal membuat bayaran secara konsisten. 

Dia yang mengalami kerugian kira-kira RM300,000 juga berkata syarikat berkenaan beroperasi di seluruh negara dan didalangi oleh dua individu dengan seorang mendakwa bergelar 'Datuk Seri'.

Sementara itu, Pengerusi Biro Undang-undang PPIM Datuk Hishamuddin Hashim berkata nama syarikat yang menggunakan perkataan 'yayasan' membuatkan orang ramai tertarik dengan pelaburan berkonsepkan emas yang ditawarkan.

"Pada 20 Feb lalu, saya  telah menghantar notis tuntutan meminta syarikat mengembalikan pelaburan dan juga membayar pulangan yang tertunggak, namun mereka menghantar peguam berserta satu sampel perjanjian penyelesaian yang pada pandangan saya tidak memberi sebarang jaminan mereka akan  mengotakan janji itu," katanya.

Hishamuddin berkata berdasarkan siasatan PPIM, lebih 100 pelabur di seluruh negara terlibat dengan syarikat berkenaan.

"Justeru saya minta mereka yang ditipu oleh syarikat ini tampil membuat laporan polis selain menghubungi PPIM agar kita boleh satukan aduan mereka dan ambil tindakan seterusnya," katanya.

- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video