KUALA LUMPUR: Sebanyak 3.3 peratus atau 676 kes daripada 20,670 kes harian yang dilaporkan pada hari ini adalah daripada kategori 3, 4 dan 5.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bakinya sebanyak 19,994 kes atau 96.7 peratus lagi terdiri daripada kategori 1 dan 2.

"Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa COVID-19. Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.

"Secara keseluruhan, hanya 2,646 kes (12.8 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini telah lengkap divaksinasi (iaitu dua minggu selepas mendapat dos kedua)," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.


Dalam pada itu kata Dr Noor Hisham, sebanyak 260 kes kematian pada hari ini melibatkan 77 kes di Selangor, 56 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 50 kes di Johor, 18 kes di Perak dan 16 kes di Negeri Sembilan.

Sementara 14 kes dicatat di Kedah, 10 kes di Sabah, lapan kes di Melaka, lima kes di Terengganu, masing-masing dua kes di Pulau Pinang dan Kelantan, serta masing-masing satu kes di Sarawak dan Pahang.

Jelasnya lagi, sebanyak 34 kluster baharu dicatat hari ini dengan 20 daripadanya merupakan kluster tempat kerja.