GEORGETOWN: Empat lelaki, tiga daripadanya warga China, ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes penculikan pemilik sebuah restoran di sini semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang juga Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata suspek berusia 32 hingga 40 tahun itu ditahan di sekitar Georgetown hari ini.

"Kira-kira 6 petang semalam (7 Mac) kita terima laporan daripada seorang wanita warganegara China memaklumkan suaminya telah diculik, susulan itu, satu pasukan khas ditubuhkan dengan keangotaan dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

"Bertindak atas maklumat dan risikan mangsa berjaya diselamatkan dan empat suspek berjaya ditahan," katanya pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

Difahamkan mangsa yang juga warga China dilarikan dari sebuah hotel di Georgetown dan diselamatkan di sebuah rumah di Bukit Gambir.

Khaw berkata ketika ditemui mangsa berusia 30 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan hanya berada dalam keadaan letih.

"Walaupun pembayaran (wang tebusan) berjumlah RM277,886 telah dibuat tetapi kita berjaya selamatkan mangsa," katanya.

Beliau berkata pihaknya sedang giat memburu tiga lagi suspek warga China yang dipercayai terbabit dengan kejadian itu.

Katanya motif penculikan masih dalam siasatan sama ada berkaitan masalah peribadi, hutang atau melarikan dengan niat untuk mendapatkan wang tebusan.

Kesemua suspek direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik.

-- BERNAMA