RAUB: Penyampai 3 Pagi ERA iaitu Nabil, Azad Jasmin dan Radin menziarahi waris tragedi kebakaran di Raub yang mengorbankan lima ahli keluarga dalam kejadian menyayat hati baru-baru ini.
Dalam kunjungan tersebut, Nabil dan Radin sempat meluangkan masa melihat sendiri kawasan rumah yang terbakar di Kampung Ulu Dong.
Advertisement
Mereka tidak dapat menyembunyikan rasa sebak apabila berdiri di hadapan sisa kebakaran yang masih jelas kelihatan, menggambarkan betapa besarnya dugaan yang menimpa keluarga berkenaan.
Suasana di lokasi juga masih sunyi dan pilu, meninggalkan kesan mendalam buat mereka yang hadir.
Rombongan 3 Pagi ERA kemudiannya menziarahi dua beradik yang terselamat di rumah pakcik mereka yang terletak tidak jauh dari kediaman Allahyarham ibu bapa di Kampung Tamalian, Pamah Kulat.
Pertemuan itu berlangsung dalam suasana penuh emosi namun sarat dengan kata-kata semangat dan doa agar kedua-dua adik-beradik tersebut terus kuat menghadapi hari-hari mendatang.
3 Pagi ERA turut menyampaikan sumbangan wang tunai sebagai tanda sokongan dan keprihatinan. Sumbangan itu diharap dapat membantu meringankan beban keluarga, khususnya dalam membuat persiapan menjelang Aidilfitri.
Menurut Nabil, kunjungan tersebut bukan sekadar tanggungjawab sebagai figura awam, tetapi lahir daripada rasa kemanusiaan dan keprihatinan terhadap insan yang sedang diuji.
“Kami datang bukan sekadar nak melawat, tapi nak tunjuk yang mereka tak keseorangan. Bila tengok sendiri keadaan rumah yang terbakar, memang rasa sangat sebak. Kita tak dapat bayangkan apa yang mereka lalui, tapi sekurang-kurangnya kami nak beri sedikit kekuatan dan sokongan moral,” katanya.
Tambah Nabil lagi, beliau tersentuh melihat ketabahan dua beradik itu walaupun berdepan kehilangan besar dalam hidup mereka.
“Saya doakan mereka terus kuat. Raya tetap akan tiba, dan saya berbesar hati untuk belanja baju raya buat mereka supaya tetap dapat rasa kegembiraan walaupun dalam keadaan yang sukar ini,” ujarnya.
Kunjungan itu diharap dapat memberi sinar harapan baharu buat keluarga terbabit serta menyuntik semangat agar mereka terus tabah meneruskan kehidupan selepas tragedi yang meragut insan tersayang.
ERA