Skip to main content

Malaysia

Pasir Gudang dan Klang kekal tidak sihat, situasi jerebu stabil menjelang malam

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) kendalian Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pasir Gudang merekodkan bacaan IPU 109 setakat 7 malam, manakala Klang mencatatkan bacaan 108. -Gambar hiasan/Bernama
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) kendalian Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pasir Gudang merekodkan bacaan IPU 109 setakat 7 malam, manakala Klang mencatatkan bacaan 108. -Gambar hiasan/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Dua kawasan yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat sepanjang hari ini, iaitu Pasir Gudang di Johor dan Klang di Selangor, menunjukkan keadaan yang lebih stabil menjelang malam apabila bacaan masing-masing berlegar sekitar paras 100.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) kendalian Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pasir Gudang merekodkan bacaan IPU 109 setakat 7 malam, manakala Klang mencatatkan bacaan 108.

Kedua-dua stesen itu kekal sebagai lokasi tunggal di negara ini yang berada dalam kategori tidak sihat.

Advertisement

Sepanjang hari, Pasir Gudang merekodkan bacaan tertinggi pada 113 setakat 11 pagi sebelum menurun kepada 106 pada 4 petang dan kembali meningkat sedikit kepada 109 pada sebelah malam.

Klang pula mencatatkan bacaan 109 pada sebelah pagi, meningkat kepada 115 pada 4 petang sebelum menurun kepada 108 setakat 7 malam.

Advertisement

Di kebanyakan kawasan lain, kualiti udara kekal terkawal dengan 38 stesen pemantauan berada dalam kategori baik dan 28 lagi dalam kategori sederhana.

Antara stesen yang masih berada dalam kategori baik ialah Kulim Hi-Tech di Kedah dan Segamat di Johor yang masing-masing merekodkan bacaan 50, iaitu paras tertinggi dalam kategori tersebut.

Bagi kategori sederhana, Seberang Perai di Pulau Pinang mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 87, diikuti Petaling Jaya dan Johan Setia di Selangor yang masing-masing merekodkan bacaan 82.

Limbang di Sarawak mencatatkan bacaan IPU terendah di negara ini pada paras 16, manakala Mukah di Sarawak dan Jerantut di Pahang masing-masing merekodkan bacaan 17.

Mengikut klasifikasi JAS, bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.

Must Watch Video

Advertisement