MALAYSIA
30 peratus peserta PLKN tidak hadir, masalah kesihatan antara alasan utama

Mohamed Khaled berucap pada Perasmian Kembara Lestari @ Kota Tinggi Bersama Yayasan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini. - Foto Bernama
KOTA TINGGI: Kira-kira 30 peratus peserta daripada dua siri Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dilaporkan gagal menghadiri latihan atas pelbagai alasan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Ringkasan AI
- PLKN 3.0 catat kadar ketidakhadiran hingga 30% dalam dua siri awal, dengan alasan seperti masalah kesihatan dan tawaran pengajian universiti.
- Program masih dalam fasa percubaan, dan pelaksanaan penuh dijadualkan bermula tahun hadapan, dengan latihan selama 45 hari di kem-kem Askar Wataniah.
- Maklum balas peserta terhadap latihan ketenteraan sangat positif, dengan cadangan supaya elemen tersebut dipertingkat untuk membina disiplin dan jati diri.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Kembara Lestari Kota Tinggi bersama Universiti Malaysia Pahang Sultan Abdullah (UMPSA) di Felda Lok Heng Barat di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata PLKN 3.0 masih berada dalam fasa percubaan dan pelaksanaan sepenuhnya hanya akan bermula tahun hadapan.
Program yang mengekalkan tempoh latihan selama 45 hari itu juga menerima maklum balas positif daripada peserta, khususnya terhadap elemen latihan ketenteraan yang disifatkan memberi impak besar dalam membina disiplin dan jati diri.
"Peserta daripada dua siri terdahulu memberikan maklum balas yang baik dan meminta supaya pengisian latihan ketenteraan dipertingkatkan," katanya.
PLKN 3.0 Siri 1/2025 diadakan di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur selama 45 hari bermula 12 Jan hingga 25 Feb.
Siri 2/2025 pula bermula pada 11 Mei hingga 24 Jun lepas manakala Siri 3 akan dilaksanakan pada 7 Sept hingga 21 Okt 2025 iaitu di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah dan Kem Rejimen 505 Askar Wataniah, Pekan, Pahang.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami