Skip to main content

Malaysia

SUKMA 2026: Kelantan sedia terima sebarang keputusan, sasaran pingat mungkin disesuaikan

71731856935_TBZAMAKHSHARI.jpg
Zamakshari berkata sukan tempur seperti taekwondo, muay thai dan silat kekal menjadi sandaran utama kontinjen Kelantan bagi menyumbang kilauan pingat, dengan sasaran awal diletakkan sekitar 17 pingat emas. - Gambar fail

KOTA BHARU: Kontinjen Kelantan bersedia menerima sebarang keputusan dan kemungkinan berhubung pelaksanaan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, termasuk pengguguran acara tertentu yang dijangka boleh memberi kesan kepada sasaran kutipan pingat negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat negeri Zamakshari Muhamad berkata keputusan muktamad mengenai pelaksanaan temasya sukan itu akan diketahui esok menerusi mesyuarat yang akan diadakan oleh Jawatankuasa Tertinggi SUKMA.

Advertisement

"Oleh itu, kita terima jika ada acara yang terpaksa digugurkan, dan sasaran pingat kita mungkin perlu disesuaikan semula mengikut perubahan yang bakal dibuat.

"Setakat ini hampir 900 atlet Kelantan telah dikenal pasti untuk menggalas cabaran negeri, membabitkan penyertaan dalam kira-kira 34 acara sukan," katanya kepada pemberita selepas hadir di Mesyuarat Exco, di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Beliau berkata sukan tempur seperti taekwondo, muay thai dan silat kekal menjadi sandaran utama kontinjen Kelantan bagi menyumbang kilauan pingat, dengan sasaran awal diletakkan sekitar 17 pingat emas.

Mengulas lanjut mengenai persiapan kontinjen, Zamakshari berkata program latihan atlet sedang berjalan lancar mengikut perancangan yang ditetapkan.

Beliau turut berharap agar apa jua keputusan yang bakal diumumkan esok tidak akan menjejaskan moral, semangat, serta komitmen barisan atlet negeri ini.

"Kita akan teruskan persiapan seperti yang dirancang dan memastikan kesemua atlet berada pada tahap prestasi terbaik untuk menghadapi cabaran di SUKMA," katanya.

Sebelum ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah penganjuran SUKMA Selangor 2026 wajar ditangguhkan susulan krisis bekalan global ketika ini dan sehingga pembangunan semula Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.

SUKMA Selangor 2026 dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos depan.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari pula dilaporkan berkata temasya dwitahunan itu akan dilaksanakan pada skala lebih kecil bagi menjimatkan kos penganjuran tanpa mengurangkan jumlah acara yang dipertandingkan.

Beliau berkata langkah itu diambil selepas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA mengambil maklum mengenai krisis bekalan global dan kesannya terhadap ekonomi dunia yang turut dirasai di negara ini.

-- BERNAMA

Must Watch Video