ISTANBUL: Kumpulan ahli politik kedua terbesar di Parlimen Eropah (EP) pada Rabu mengadakan protes menggesa penggantungan perjanjian kerjasama Kesatuan Eropah (EU) dengan Israel, lapor Anadolu Ajansi.
Berkumpul di dalam bangunan EP di Brussels, ahli parlimen Perikatan Progresif Sosialis dan Demokrat (S&D) memegang papan tanda bertulis "Gantung Perjanjian Persatuan EU-Israel Sekarang!" kerana mereka menggesa tindakan lebih kuat institusi EU terhadap perkembangan di Asia Barat.
Advertisement
Dalam satu kenyataan yang mengiringi protes itu, kumpulan berkenaan berkata Majlis Eropah "mesti menggantung perjanjian persatuan EU-Israel!"
Kumpulan itu juga berkongsi sekeping foto berkaitan protes pada platform media sosial X, menggesa lebih banyak langkah diambil.
"Sekatan serta-merta ke atas peneroka ganas di Tebing Barat. Penubuhan negara Palestin mesti menjadi keutamaan EU yang tidak berbelah bahagi, bermula dengan (pembinaan semula) Gaza. Israel mesti menghentikan operasi ketenteraan di Lubnan," menurut keterangan pada gambar itu.
Perjanjian Persatuan EU-Israel, berkuat kuasa sejak 2000, menetapkan rangka kerja untuk dialog politik, perdagangan dan kerjasama antara EU dan Israel.
Isu seperti perang genosid Israel di Gaza dan rampasan tanah secara ganas dan haram oleh penjajah di Tebing Barat telah menyebabkan ramai dalam blok itu mempersoalkan mengapa Israel perlu mendapat layanan utama.
-- BERNAMA-ANADOLU