MALAYSIA
307 pegawai perubatan tetap ditempatkan di Sabah bawah e-Placement Fasa Satu - Dzulkefly

Dzulkefly berkata daripada jumlah itu, 10 pegawai akan berkhidmat di Hospital Duchess of Kent (HDOK) yang menjadi hospital rujukan utama bagi pantai timur Sabah meliputi daerah Sandakan, Kinabatangan, Beluran, Telupid dan Tongod. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sebanyak 307 pegawai perubatan lantikan tetap akan ditempatkan di fasiliti kesihatan seluruh Sabah di bawah e-Placement Fasa Satu bagi mengukuhkan perkhidmatan dan mengurangkan beban kerja sedia ada.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata daripada jumlah itu, 10 pegawai akan berkhidmat di Hospital Duchess of Kent (HDOK) yang menjadi hospital rujukan utama bagi pantai timur Sabah meliputi daerah Sandakan, Kinabatangan, Beluran, Telupid dan Tongod.
"HDOK menyediakan 19 kepakaran dalaman dan menjadi nadi perkhidmatan kesihatan di lima daerah berkenaan. Dengan jumlah katil sebanyak 414, HDOK berdepan beban kerja tinggi merangkumi rawatan pesakit luar, pembedahan, kes kecemasan dan perkhidmatan bersalin.
"Kehadiran tenaga baharu ini akan membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat," katanya menerusi hantaran Facebook berkenaan lawatan kerjanya ke Sabah hari ini.Beliau berkata lawatan ke HDOK turut menumpukan kepada isu pembangunan dan keperluan naik taraf fasiliti seperti pembinaan blok baharu, pemindahan sementara wad lama yang berisiko serta penambahan tangki air berkapasiti besar bagi memastikan kelancaran operasi hospital walaupun berdepan gangguan bekalan air.
Dalam hantaran berasingan, Dzulkefly turut meninjau pelaksanaan Program Imunisasi Measles-Rubella (MR) di Klinik Desa (KD) Karamunting bersama Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee, sebagai usaha meningkatkan liputan imunisasi melebihi 95 peratus demi membentuk imuniti kelompok yang mampu memutuskan rantaian jangkitan.
"Klinik Desa seperti KD Karamunting memainkan peranan penting sebagai barisan hadapan perkhidmatan kesihatan luar bandar, bukan sahaja memberi rawatan asas, malah menjadi pusat utama bagi imunisasi, penjagaan ibu dan anak, serta pendidikan kesihatan komuniti," katanya.
Menteri Kesihatan itu kemudiannya meninjau operasi Hospital Kinabatangan yang menjadi nadi perkhidmatan kesihatan kawasan tersebut, termasuk klinik kesihatan ibu dan anak serta klinik pergigian.
Antara cabaran yang dikenal pasti semasa tinjauan berkenaan ialah ketiadaan bilik pengasingan tekanan negatif, ruang farmasi dan rehabilitasi terhad serta keperluan peralatan kritikal seperti ventilator.
Selain itu, beliau turut merasmikan bangunan baharu Klinik Kesihatan Ulu Dusun di Sandakan dan meninjau kemajuan pembinaan semula Klinik Kesihatan (KK) Bukit Garam di Kinabatangan di bawah Projek Klinik Daif Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
"Fasiliti baharu ini bukan sahaja memberi ruang yang lebih selesa untuk pesakit, tetapi juga meningkatkan kapasiti perkhidmatan termasuk rawatan pesakit luar, penjagaan ibu dan anak, imunisasi, dan promosi kesihatan," katanya.
Kerja naik taraf KK Ulu Dusun bernilai RM600,000 telah siap dan beroperasi untuk komuniti setempat, manakala pembinaan semula KK Bukit Garam bernilai RM1 juta sedang dilaksanakan meliputi pembinaan bangunan baharu lengkap dengan kemudahan asas dan sokongan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami