TAIPING: Sebanyak 310 kes kecurian kabel dan vandalisme membabitkan rangkaian telekomunikasi dilaporkan di Perak dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Mohd Azlan Helmi berkata daripada jumlah berkenaan 125 kes telah dituduh di mahkamah, 67 kes dibuka kertas siasatan dan bakinya sedang dalam tindakan pihak berwajib.
“Kita telah melabelkan isu kecurian dan vandalisme ini bukan sekadar vandalisme semata-mata, tetapi sebagai unsur sabotaj terhadap alat telekomunikasi di negeri Perak dan mana-mana individu yang ditahan akan didakwa di bawah Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Untuk rekod, Kinta merupakan daerah tertinggi yang merekodkan kes kejadian tidak bermoral ini,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian penutup Pertandingan Cabaran Kod Morse Negeri Perak 2026 yang berlangsung di Dewan Rumpun Seri, Kompleks TM Taiping di sini pada Sabtu.
Mohd Azlan menegaskan kerajaan negeri memandang serius perkara ini dengan menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan Telekomunikasi dan Rangkaian Negeri Perak bagi melindungi aset telekomunikasi milik semua syarikat penyedia perkhidmatan (telco).
Jawatankuasa berkenaan turut dianggotai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai urusetia, Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Tindakan jenayah ini tidak hanya merosakkan prasarana fizikal, malah berupaya menjejaskan liputan rangkaian serta perkhidmatan ketersambungan pengguna secara meluas,” katanya.
Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri akan menganjurkan program kesedaran komuniti secara berperingkat pada 28 Sept ini di daerah Kinta yang bertujuan memberi kefahaman tentang bahaya dan tindakan yang boleh dikenakan terhadap pesalah.
“Kita akan kumpulkan masyarakat termasuk ketua kampung, Ketua Kawasan Rukun Tetangga (KRT), penghulu, tok imam dan sebagainya untuk memastikan perkara ini difahami sewajarnya,” katanya.
-- BERNAMA