Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menahan 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi bersepadu yang diselaraskan di empat lokasi berasingan di Lahad Datu, pada Jumaat.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali berkata, operasi yang bermula dari jam 8 malam hingga 5 pagi itu disertai kira-kira 65 anggota penguat kuasa dan memberi tumpuan kepada kawasan ladang serta penempatan haram yang disyaki menjadi tempat persembunyian PATI.

Menurutnya, dalam operasi itu seramai 158 individu telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut seramai 33 orang disyaki PATI telah ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah atau meragukan selain pasport tamat tempoh.

"Mereka terdiri daripada 30 warga Filipina dan tiga warga Indonesia berusia dalam lingkungan 10 hingga 50 tahun.

"Kesemua mereka dibawah ke Pangkalan Polis Marin (PPM) untuk tapisan keselematan sebelum dihantar ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau untuk proses penghantaran pulang ke negara asal," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Tambah Hazani, antara kawasan yang menjadi tumpuan termasuk Kampung Membantu, Kampung Manar dan Kampung Perpaduan (Bagahak) serta kawasan bandar Lahad Datu.

Katanya, kes disiasat dibawa Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/61 (Pindaan 2002) dan Seksyen 15(1)(c) 1959/63 (pindaan 2002).