Sebanyak 34,787 unit produk kesihatan tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi telah dirampas dengan nilai rampasan sebanyak RM63.1 juta sejak 2018 sehingga tahun ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, notifikasi penurunan iklan dan sekatan ke atas laman sesawang dan platform e-dagang juga telah diambil terhadap kosmetik dan produk kesihatan yang melanggar undang-undang.

Menurutnya, pelbagai usaha telah dijalankan bagi meningkatkan kesedaran orang awam berkenaan produk kesihatan berdaftar serta kosmetik bernotifikasi melalui pameran, dialog awam, ceramah dan `Kempen Kenali Ubat Anda’ di seluruh negara.

“Orang awam juga dinasihatkan agar menyemak produk yang ingin dibeli, sama ada ia berdaftar atau bernotifikasi.

“Semakan status pendaftaran atau notifikasi sesuatu produk boleh dilakukan dengan melayari laman sesawang www.npra.gov.my atau memuat turun aplikasi ‘NPRA Product Status’ daripada Google Play Store,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Dr Dzulkefly berkata demikian ketika menjawab soalan Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru) yang mahu tahu langkah-langkah penguatkuasaan yang diambil ekoran peningkatan keluaran produk kosmetik dan kesihatan jenama buatan sendiri, di pasaran sejak kebelakangan ini.

Dalam pada itu katanya, aktiviti pengilangan produk-produk kesihatan dan kosmetik dikawal di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Ujarnya, undang-undang ini memperuntukkan bahawa produk-produk kesihatan perlu berdaftar, dan bagi kosmetik perlu bernotifikasi terlebih dahulu, dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan, sebelum dikilangkan dan dijual kepada orang awam.

Tambahnya, pengilangan produk-produk kesihatan dan kosmetik hanya dibenarkan dilakukan di kilang-kilang yang dilesenkan oleh KKM bagi menjamin keselamatan produk-produk tersebut digunakan oleh orang ramai.