KUALA LUMPUR: Sebanyak 34,066 warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas telah didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu dalam tempoh 1 hingga 30 Jun lepas.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, jumlah berkenaan ialah sebahagian daripada Daftar Pemilih Tambahan Bulan Jun Tahun 2026 (DPT BLN6/2026) yang telah diperakukan pada 31 Julai dan diwartakan hari ini.
Beliau berkata DPT BLN6/2026 itu turut mengandungi 32,148 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya serta 4,379 pemilih yang bertukar kategori pengundi atau status.
Khairul Shahril berkata DPT BLN6/2026 dibuka untuk semakan bermula hari ini hingga 1 Sept ini.
“SPR menyeru warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 30 Jun serta mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran kategori pengundi atau status supaya menyemak nama mereka dalam DPT BLN6/2026.
“Sekiranya mereka mendapati nama mereka tidak disenaraikan dalam DPT BLN6/2026, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian menerusi pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
SPR menyediakan lima kaedah semakan bagi DPT BLN6/2026, iaitu menerusi portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my; portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri http://ppn.spr.gov.my; aplikasi dalam talian https://myspr.spr.gov.my; aplikasi mudah alih MySPR Semak; atau Hotline Semakan Pendaftaran Pemilih melalui talian 03-8892 7218.
Khairul Shahril berkata pemilih berdaftar yang berhasrat membuat bantahan terhadap pertukaran nama pemilih ke bahagian pilihan raya boleh mengisi Borang D menerusi aplikasi MySPR atau hadir terus ke Pejabat Pilihan Raya Negeri berkenaan.
Katanya, borang yang telah dilengkapkan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk penyerahan serta pembayaran fi bantahan pada waktu pejabat sepanjang tempoh semakan DPT BLN6/2026.
-- BERNAMA