Keghairahan 39 individu berpesta dadah bagi meraikan sambutan hari jadi di atas rumah bot di tasik peranginan di Terengganu terhenti apabila diserbu polis awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat Daud berkata dalam serbuan kira-kira jam 1.30 pagi itu pihaknya mendapati 35 daripada mereka positif dadah Amphetamine manakala empat lagi negatif.

Katanya hasil siasatan kesemua mereka mengaku mengambil dadah jenis eramin 5 dan ekstasi serta mula berpesta sejak pukul 11 malam Selasa.

“Kita mengesyaki terdapat aktiviti penyalahgunaan dadah dan aktiviti tidak bermoral di atas rumah bot yang dinaiki 31 lelaki Melayu dan lapan wanita.

“Hasil pemeriksaan lanjut didalam sebuah bilik pihak polis menemui satu botol lutsinar mengandungi cecair kehitaman dipercayai dadah,” katanya dalam satu kenyataan disini,hari ini.

Seramai 35 individu ditahan kerana dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Mohd adli berkata kesemua mereka yang berusia antara 18 hingga 45 tahun itu beralamat di Marang dan Kuala Terengganu.

Jelasnya pemeriksaan juga mendapati pemandu dan seorang kru rumah bot terbabit positif dadah.

Beliau berkata kesemua yang ditangkap disiasat mengikut seksyen 15 (1) (a) Akta Penagih Dadah 1983 manakala satu kes disiasat mengikut seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.