KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur sedang mengesan 36 individu yang dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung pelbagai kesalahan jenayah.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata lapan daripada individu terbabit dikehendaki kerana disyaki terlibat dalam kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Advertisement
Beliau berkata, mereka ialah S. Magesan, V. Vadivelu, Mohd Fadli Saludin, G. Kumeresan, K. Ravi Kumar, Ngai Chan Hong, Mohammad Bhukor dan Ibnolhafis Aswad yang berusia antara 19 hingga 52 tahun.
"Selain itu, lima lagi individu dikehendaki bagi membantu siasatan kes rogol yang dijalankan mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Fadil memberitahu, mereka ialah Meor Zaini Basir, Low Kiat Soon, Tengku Abdul Muien Tengku Al-Faizzam, Rahimafdzi Abd Rahim, serta Che Muhamad Faizal Che Hassan yang berusia antara 20 hingga 64 tahun.
Menurut beliau, kes lain yang sedang disiasat membabitkan kesalahan gangguan seksual, mendatangkan cedera dan cedera parah, menggunakan senjata, merusuh serta pecah rumah.
“Berdasarkan semakan, lokasi terakhir kesemua individu terbabit dikenal pasti di beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Johor serta negeri-negeri lain,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau mengenali individu berkenaan diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Deputi Superitendan K Rajkumar di talian 03-21460613 dari Bahagian D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.