36 kluster influenza direkod di Pulau Pinang - Chow

Chow berkata bagaimanapun tiada kematian atau mutasi baharu virus itu dikesan dan semua kluster yang dikenal pasti berada dalam keadaan terkawal setakat ini. - Gambar fail/Facebook
GEORGE TOWN: Sebanyak 36 kluster influenza direkodkan di Pulau Pinang setakat minggu epidemik (ME) ke-41, melibatkan institusi pendidikan termasuk tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT).
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata bagaimanapun tiada kematian atau mutasi baharu virus itu dikesan dan semua kluster yang dikenal pasti berada dalam keadaan terkawal setakat ini.
"Berdasarkan laporan yang diberikan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pulau, ME 1 hingga ME 39 sebanyak sembilan kluster influenza direkodkan dan seterusnya bagi ME 40 iaitu dari 28 Sept hingga 4 Okt sebanyak 10 kluster dicatatkan dengan 418 kes kumulatif direkodkan.
"Bagi ME 41 iaitu dari 5 Okt hingga 11 Okt merekodkan 17 kluster menjadikan sebanyak 36 kluster dicatatkan dari awal tahun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Kawalan Bencana Negeri yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pasca Bencana Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Hussain Moh di Komtar di sini hari ini.Chow berkata orang ramai dinasihatkan mengambil langkah pencegahan sewajarnya termasuk memakai pelitup muka terutama bagi mereka yang bergejala serta mengelakkan ke tempat awam.
Pada Khamis lepas, Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan sebanyak 97 kluster influenza melibatkan influenza A dan B direkodkan di seluruh negara pada ME 40/2025, meningkat berbanding hanya 14 kluster pada ME 39/2025.
Pulau Pinang disenaraikan antara lima negeri tertinggi merekodkan peningkatan kes inluenza dengan 10 kluster manakala Selangor paling tinggi 43 kluster, selain Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (15), Johor (9) dan Kedah (5).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami