MALAYSIA
37 permohonan CEMI diterima setakat 12 Jun - Nie Ching

Teo Nie Ching (tengah) mendengar luahan pengiat seni dari daerah ini ketika mengadakan sesi perbincangan sewaktu program Kembara Ask Me Anything. - Foto Bernama
SANDAKAN: Insentif Konsert dan Acara Malaysia (CEMI) berbentuk rebat kewangan yang diperkenalkan Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures (MyCV) pada 15 Mei lepas, telah menerima 37 permohonan setakat 12 Jun ini.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, kerajaan telah memperuntukkan RM10 juta untuk CEMI bagi memperkukuh industri kreatif tempatan melalui kerjasama strategik pengurusan konsert dan acara di negara ini.
"Saya amat menggalakkan para pemain industri khususnya di Sabah, untuk mengambil peluang dan memohon insentif ini sebelum tarikh tutup permohonan pada 10 Julai 2025.
"CEMI ini berdasarkan kepada dua jenis permohonan iaitu permohonan untuk konsert dan acara bagi artis antarabangsa atau artis tempatan. Insentif ini bertujuan menarik dan menyokong penganjuran konsert serta acara muzik berskala besar dengan kapasiti 15,000 orang ke atas," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kembara Ask Me Anything Dana Kandungan Kreatif 2025 - Industri Muzik kelolaan MyCV, di sini, pada Isnin.
Beliau berkata, perkembangan pesat industri konsert di Malaysia turut memberi pulangan besar kepada negara dan susulan itu insentif berkenaan diwujudkan.
"Pada 2023, sebanyak 335 konsert antarabangsa diadakan di Malaysia dan menyumbang lebih RM498 juta kepada ekonomi negara, dan pada 2024 jumlah ini melonjak kepada 408 konsert antarabangsa sekali gus menjana sumbangan RM553 juta," katanya.
Sementara itu, Teo berkata, komuniti seni dan kreatif di Sabah serta Sarawak juga digalakkan memohon Dana Kandungan Kreatif (DKK) yang disediakan kerajaan sebagai usaha membangunkan industri muzik negara yang berdaya saing dan memberi impak positif.
"Sebanyak RM6.3 juta diperuntukkan kerajaan bagi DKK. Terdapat tiga program DKK yang giat dilaksanakan iaitu dana persembahan muzik dengan permohonan dibuka hingga 30 Jun ini.
"Kedua, dana pemasaran dan promosi antarabangsa serta ketiga, dana pemasaran dan promosi domestik dengan masing-masing permohonan dana dibuka hingga 1 Dis ini. Permohonan boleh dilakukan melalui portal MyCV," katanya.
Teo berkata, program hari ini merupakan satu daripada inisiatif mendekati komuniti seni dan kreatif di sini bagi menggalakkan mereka merebut peluang memohon dana DKK untuk pembangunan muzik, kerana muzik Sabah serta Sarawak memiliki keunikan dan keistimewaan tersendiri.
Pada program itu, Persatuan Seni Kreatif dan Pemuzik Tempatan Sandakan menerima DKK untuk persembahan muzik sebanyak RM80,000 bagi penganjuran Sandakan Nature City Loud Festival 2025 pada Julai ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami