KUALA LUMPUR: Situasi jerebu negara menunjukkan peningkatan di beberapa kawasan apabila Cheras kembali merekodkan bacaan dalam kategori sederhana setakat jam 2 petang ini.
Cheras mencatatkan penurunan terbesar apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) susut 13 mata kepada 98 berbanding 111 pada jam 12 tengah hari tadi.
Bagaimanapun, sebanyak 16 kawasan di seluruh negara masih berada dalam kategori tidak sihat dengan Seremban di Negeri Sembilan terus merekodkan bacaan IPU tertinggi pada paras 158. Bacaan itu menurun dua mata berbanding kemas kini pada jam 12 tengah hari.
Mengikut data Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), Johan Setia di Selangor menurun satu mata kepada 157, manakala Klang dan Nilai masing-masing mencatatkan bacaan 156.
Di Selangor dan Lembah Klang, Banting mencatatkan penurunan tujuh mata kepada 145 berbanding 152 sebelum ini, manakala Petaling Jaya susut satu mata kepada 153. Shah Alam pula kekal pada bacaan 152.
Di Wilayah Persekutuan, Putrajaya mencatatkan penurunan 12 mata kepada 125 manakala Batu Muda di Kuala Lumpur turun satu mata kepada 155.
Bagi wilayah selatan dan Melaka, Bandaraya Melaka meningkat kepada 151 berbanding 126 sebelum ini. Bukit Rambai dan Tangkak masing-masing mencatatkan bacaan 152, manakala Batu Pahat merekodkan bacaan 151. Alor Gajah pula menurun 10 mata kepada 108.
Di Sarawak, Sri Aman meningkat satu mata kepada 152, manakala IPD Serian meningkat daripada 100 kepada 128 dan berada dalam kategori tidak sihat.
Sementara itu, Port Dickson di Negeri Sembilan menurun satu mata kepada 98 dan kekal dalam kategori sederhana.
Secara keseluruhan, baki 52 stesen pemantauan IPU di seluruh negara berada dalam kategori sederhana dan baik. Kemaman di Terengganu terus merekodkan kualiti udara terbaik dengan bacaan 44.