Skip to main content

Malaysia

3R: Polis siasat rancangan perhimpunan di hadapan Hospital Bukit Mertajam

KUIL PENANG
Polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan undang-undang sedia ada. - Gambar tular

KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan terhadap hantaran berhubung perhimpunan Operasi Terjahan Rumah Anutan Haram yang didakwa akan diadakan di hadapan Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang Sabtu ini. 

Ketua Polis Pulau Pinang, Azizee Ismail, berkata siasatan itu dimulakan susulan laporan polis dibuat Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, pada Selasa lalu. 

Advertisement

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan berhubung penularan kenyataan berunsur perkauman. 

"Kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan, di sini pada Rabu. 

Menurut Azizee, susulan itu pihaknya menasihatkan orang ramai agar tidak menyertai atau menganjurkan sebarang perhimpunan yang boleh menimbulkan kekacauan atau menjejaskan ketenteraman masyarakat setempat. 

Pada masa sama, beliau meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang berunsur provokasi atau membuat spekulasi yang boleh mencetuskan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum. 

Menurutnya, polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan undang-undang sedia ada. 

Terdahulu, RSN Rayer membuat laporan polis berhubung satu hantaran di Facebook yang mendakwa terdapat rancangan untuk merobohkan sebuah kuil yang terletak di hadapan Hospital Bukit Mertajam. 

Dalam laporan itu, Rayer yang juga Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang mendakwa kandungan dimuat naik bersifat provokasi dan mampu mencetuskan ketegangan kaum serta agama.

Must Watch Video