KUALA LUMPUR: Empat lagi kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu satu di Sabah dan tiga di Pahang, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kawasan terbabit ialah Kampung Tanjung Batu Keramat, Kota Belud serta Ladang Leepang, Ladang Laukin dan Kampung Inoi di Muadzam Shah, Rompin.

Katanya, PKPD di semua lokaliti terbabit bermula esok sehingga 28 April.

"Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan berlaku peningkatan kes di lokaliti itu dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, semua kawasan terbabit dikenakan PKPD," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, pelaksanaan PKPD untuk memudahkan KKM membuat pengesanan awal kes disyaki COVID-19 serta kontak rapat selain menyekat penularan jangkitan dari kawasan berisiko ke kawasan lain.