Ringkasan AI
- Polis mempertimbangkan untuk memanggil Tony Pua berhubung pendedahan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan Datuk Seri Najib Tun Razak.
- Setakat ini, polis belum menerima laporan rasmi mengenai isu kebocoran dokumen tersebut, namun bersedia untuk menyiasat jika diperlukan.
- Perdana Menteri menafikan kerajaan menyebarkan dokumen rahsia dan menjelaskan sebahagian dokumen dinyahklasifikasikan oleh AGC untuk tujuan mahkamah.
KUALA LUMPUR: Polis tidak menolak kemungkinan memanggil pemimpin DAP Tony Pua berhubung pendedahan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata perkara itu akan dirujuk kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Bagaimanapun, beliau berkata polis masih belum menerima sebarang laporan berhubung perkara itu.
"Setakat ini, tak ada laporan polis berhubung isu ini... semua benda ini digembar-gemburkan di media sosial dan sebagainya tapi pihak polis bersedia untuk menyiasat perkara ini," katanya kepada pemberita pada Majlis Pemakaian Lencana Pangkat Pegawai Kanan Polis di sini hari ini.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengarahkan polis menggerakkan segala sumber bagi menyiasat dakwaan kebocoran minit mesyuarat berkenaan susulan gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya polis menyiasat dakwaan kebocoran dan penyebaran dokumen itu.
Ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, Anwar menafikan dakwaan kononnya kerajaan menyebarkan minit mesyuarat itu yang diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia kepada umum dan dokumen berkaitan pengampunan bersyarat Najib itu disebarkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri atau Jabatan Peguam Negara (AGC).
Sebaliknya, Perdana Menteri berkata sebahagian dokumen berkenaan dinyahklasifikasikan oleh AGC bagi tujuan persiapan jawapan dalam menghadapi kes berkaitan isu itu yang dibawa ke mahkamah.
-- BERNAMA