SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) giat memantau ajaran atau fahaman meragukan dalam media sosial yang dibimbangi mempengaruhi golongan muda beragama Islam.
Pengerusi MAIS Datuk Salehuddin Saidin berkata pihaknya melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mempunyai pasukan yang sentiasa menjalankan pemantauan dan pelbagai elemen siasatan berhubung dengan perkara tersebut.
Beliau berkata anak muda merupakan golongan paling dikhuatiri mudah terpengaruh dengan kumpulan tertentu termasuk dari luar negara sehingga menjadi ancaman kepada fahaman ajaran Islam yang sebenar.
"Seperti fahaman New Age Movement, golongan itu menganggap dia seorang Islam, tetapi mengikuti amalan agama lain. Hal ini yang kita bimbang, jika terdedah dengan ajaran di media sosial, mereka tidak dapat menghayati ajaran Islam.
"Jadi, menerusi penguatkuasaan, kami sentiasa memantau perkara itu dan tidak mahu kumpulan seumpamanya membesar sehingga menjadi tidak terkawal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas merasmikan Seminar Membina Ketahanan Ummah Masa Hadapan Peringkat Negeri Selangor 2026 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang turut dihadiri Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, hari ini.
Salehuddin berkata pemerhatian pihaknya mendapati situasi berkaitan dengan ajaran sesat di Selangor masih dalam keadaan terkawal, justeru beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan supaya menyalurkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, beliau berkata tidak dinafikan wujud salah faham dalam kalangan masyarakat yang menganggap ilmu tasawuf, iaitu penyucian jiwa, akhlak dan kerohanian sebagai amalan asing daripada ajaran Islam.
Namun, katanya, terdapat pihak mempergunakan istilah tasawuf, tarekat, hakikat dan makrifat bagi mengabsahkan fahaman yang menyeleweng daripada ajaran sebenar.
"Tasawuf tidak sekali-kali mengetepikan tuntutan syariah, mengagungkan guru secara melampau atau menjadikan pengalaman kerohanian sebagai alasan untuk menyimpang daripada al-Quran dan al-Sunnah," katanya.
Salehuddin berkata Selangor melalui Fatwa berkaitan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diwartakan pada 17 Jun 2025 menetapkan bahawa pegangan dari sudut akhlak dan tasawuf berlandaskan manhaj Imam Junaid al-Baghdadi, Imam al-Ghazali atau ulama sufi yang muktabar.
Terdahulu, Salehuddin melancarkan Modul Akidah Skuad Informasi Akidah Selangor, iaitu buku panduan khas untuk digunakan, khususnya bagi penceramah dalam pelbagai program keagamaan bersama-sama masyarakat termasuk pelajar sekolah.
-- BERNAMA