Skip to main content

Politik

Abang Jo serah kepada PKR tentukan penyertaan PRN Sarawak ke-13

Menurut Abang Johari, pertemuan itu memberi ruang kepada Saifuddin Nasution mendapatkan maklum balas mengenai pendirian GPS berhubung pilihan raya negeri akan datang, namun beliau menyerahkan kepada pemimpin berkenaan dan PKR untuk menentukan langkah seterusnya. - Gambar Astro AWANI
Menurut Abang Johari, pertemuan itu memberi ruang kepada Saifuddin Nasution mendapatkan maklum balas mengenai pendirian GPS berhubung pilihan raya negeri akan datang, namun beliau menyerahkan kepada pemimpin berkenaan dan PKR untuk menentukan langkah seterusnya. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

KUCHING: Pendirian Parti Keadilan Rakyat (PKR) sama ada akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 masih belum dimuktamadkan, dengan keputusan mengenainya diserahkan kepada parti itu sendiri.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu antara yang disentuh dalam pertemuannya dengan Naib Presiden PKR yang menjalankan tugas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, di Kuching pada Isnin.

Menurut Abang Johari, pertemuan itu memberi ruang kepada Saifuddin Nasution mendapatkan maklum balas mengenai pendirian GPS berhubung pilihan raya negeri akan datang, namun beliau menyerahkan kepada pemimpin berkenaan dan PKR untuk menentukan langkah seterusnya.

Advertisement

“Ya, semalam Datuk Saifuddin Nasution ada berkunjung jumpa dengan saya sambil kita minum air Milo. Tetapi tidak ada kepastian. Memang dia hanya menerima maklum balas pendirian kita mengenai pilihan raya.

“Dan saya serah kepada beliaulah dan parti beliau,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Persidangan dan Pameran Penilaian Impak Sosial Dalam Ekonomi Sedang Membangun 2026 (SIAC2026) di Hotel Pullman, Kuching pada Selasa.

Advertisement

Mengulas sama ada Saifuddin Nasution ada menyatakan PKR tidak akan bertanding di Sarawak, Abang Johari berkata beliau tidak melihat sebarang pengesahan sedemikian dalam hantaran Facebook pemimpin itu.

Sebaliknya, beliau berkata hantaran berkenaan menyentuh kepentingan kerjasama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Dalam hantaran Facebook pada Selasa, Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri dan Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) berkata pertemuannya dengan Abang Johari turut membincangkan beberapa perkara berkepentingan bersama, termasuk keselamatan, politik, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Beliau turut menekankan kepentingan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi serta kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan dalam hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak.

Sementara itu, landskap politik menjelang PRN Sarawak ke-13 menyaksikan Barisan Nasional (BN),  Pas dan AMANAH mengumumkan tidak akan meletakkan calon di Sarawak, manakala DAP telah mengesahkan penyertaannya dalam pilihan raya negeri itu.

PKR bagaimanapun masih belum mengumumkan keputusan rasmi berhubung penyertaannya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November sebagai hari penamaan calon, 8 Disember bagi pengundian awal dan 12 Disember sebagai hari pengundian.

Must Watch Video

Advertisement