GEDONG (Sarawak): Kerajaan kini dalam fasa akhir rundingan bersama empat syarikat multinasional untuk membangunkan fasiliti perkhidmatan berasaskan awan dan pusat data di negara ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata Kementerian Kewangan memaklumkan satu rundingan sudah selesai, manakala tiga lagi hampir selesai untuk membolehkan syarikat antarabangsa terbabit membuat pelaburan yang lebih besar.

"Satu daripada syarikat ini memaklumkan kepada saya pelaburan mereka bernilai lebih RM1 bilion untuk pengkomputeran awan dan perkhidmatan awan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDI) dan melancarkan perkhidmatan unifi, Internet jalur lebar berkelajuan tinggi di Gedong hari ini.

Gedong terletak kira-kira 90 minit perjalanan darat dari Kuching.

Dalam pada itu, Annuar berkata sekurang-kurangnya tiga syarikat tempatan dan antarabangsa merancang untuk membangunkan perkhidmatan jalur lebar di Sarawak.

"Mereka telah bertemu dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi menyatakan perancangan mereka membuat satu lagi kabel antara benua, kabel dasar laut yang akan melalui kawasan utara Sarawak menerusi pesisir pantai di Laut China Selatan," katanya.

Jelas beliau, perancangan itu telah dimaklumkan kepada Kementerian Pengangkutan dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan.

"Sekiranya projek ini direalisasikan, Sarawak akan menjadi tempat pendaratan yang penting kepada negara," menurut Annuar.

-- BERNAMA