BERUAS: Kira-kira 40 ekor lembu dijumpai mati di sebuah ladang buah naga di Sungai Rotan, Padang Gajah, dekat sini, semalam.

Berdasarkan keadaan mulut ternakan itu yang berbuih, haiwan-haiwan tersebut disyaki terminum atau termakan racun.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, kejadian itu disedari oleh seorang pekerja ladang berkenaan, ketika memulakan kerja kira-kira jam 9 pagi.

Menurutnya, pegawai polis yang pergi ke lokasi kira-kira 9.45 pagi mendapati beberapa ekor lembu bergelimpangan dan dipercayai telah mati.

“Pegawai polis berkenaan telah membuat pemeriksaan terhadap lembu tersebut sebab kematian tidak pasti,” katanya di sini, hari ini.

Osman berkata, pihak polis kemudiannya telah memaklumkan kepada Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di selain pegawai Jabatan Veterinar.

Difahamkan pihak forensik PDRM telah mengambil beberapa sampel daripada lokasi kejadian.

Polis dengan kerjasama agensi-agensi berkenaan masih menjalan siasatan lanjut untuk mengetahui punca kematian ternakan itu.