ALOR SETAR: Seramai 41 remaja 'mat rempit' ditahan kerana berlumba dan menunggang secara berbahaya serta dikenakan kompaun kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kesemua mereka berusia antara 14 hingga 21 tahun ditahan dalam Op Lejang oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, pada Jumaat petang.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, ketika serbuan tedapat sekumpulan remaja sedang berlumba sambil melakukan aksi berbahaya di atas jalan di Kampung Padang Garam, Kuala Kedah.

Sebaik ditahan ada diantara mereka didapati merentas daerah datang dari Yan, Sungai Petani, Kubang Pasu dan Pendang datang semata-mata untuk berlumba.

"Kita telah terima maklumat daripada orang awam yang mengatakan akhir-akhir ni terdapat aktiviti permotoran yang menyalahi undang-undang dan juga aktiviti yang menyalahi SOP PKP yang sedang berkuat kuasa sekarang.

"Tujuh daripada 41 ini didapati merentas daerah dan 99 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan," katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.

Katanya, daripada jumlah itu, 11 daripadanya adalah remaja perempuan manakala selebihnya adalah lelaki.

Tujuh daripada mereka dikompaun RM5,000 setiap seorang atas kesalahan merentas daerah tanpa alasan munasabah.

Manakala 34 remaja lain dikompaun RM1,500 kerana berkumpul tanpa sebab munasabah dan melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Menerusi operasi itu 31 buah motosikal diperiksa dan sebanyak 99 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Kompaun dikeluarkan mengikut Peraturan 10 (1) Peraturan Pengawalan Dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021 (kerana berhimpun), Peraturan 4(1) PPDPPB 2021 (merentas daerah) dan Peraturan 16 PPDPPB 2021 (tidak memakai pelitup muka).

Operasi bermula jam bermula jam 6 petang berakhir jam 9 malam yang membabitkan dua pegawai dan 28 anggota.

Ahmad Shukri menasihatkan ibu bapa atau penjaga supaya mengawasi anak mereka terutama di bawah umur supaya tidak melakukan pergerakan termasuk merentas daerah tanpa kebenaran ketika PKP dalam usaha kerajaan membendung penularan COVID- 19.