SEREMBAN: Jabatan Imigresen Negeri Sembilan (JIMNS) menahan 43 pendatang tanpa izin atas pelbagai kesalahan menerusi empat serbuan di restoran dan pusat urut sekitar daerah ini, semalam.

Pengarahnya Kennith Tan Ai Kiang berkata kesemua yang ditahan dalam operasi bermula 9 pagi hingga 7 malam itu berusia lingkungan 17 hingga 47 tahun, terdiri daripada 34 lelaki serta tujuh wanita warga Myanmar dan dua wanita Thailand.

Beliau berkata semasa operasi di sebuah lokasi serbuan itu, seorang pegawai wanita mengalami kecederaan ringan setelah dirempuh seorang lelaki warga asing yang cuba melarikan diri.

"Bagaimanapun, pasukan JIMNS berjaya menangkap lelaki berkenaan dalam kawasan semak kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.

"Kesemua mereka kemudiannya dihantar dan ditahan di Depot Imigresen Lenggeng untuk tindakan lanjut. Lima borang Saman Kepada Saksi untuk hadir ke pejabat turut dikeluarkan kepada individu dalam operasi tersebut bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Kennith berkata JIMNS tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk kegiatan melanggar undang-undang dan memastikan usaha membanteras pendatang asing tanpa izin sentiasa dilaksanakan.

Katanya, operasi penguatkuasaan di seluruh Negeri Sembilan dijalankan secara berterusan bagi menangani masalah terbabit selain mengalu-alukan orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat dengan identiti pemberi maklumat dirahsiakan.

-- BERNAMA