PUTRAJAYA: Seramai 45 individu atau 0.45 peratus bagi setiap 10,000 yang dijangkiti COVID-19 di negara ini kini berdepan risiko kematian.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kadar kematian berkaitan COVID-19 dalam negara terus menunjukkan peningkatan.

"Ini telah pun dilaporkan yang mana 71 peratus daripada kes-kes kematian melibatkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas.

"Selain itu, kematian dikesan melibatkan kumpulan yang mempunyai penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, kolestrol yang tinggi, sakit buah pinggang, jantung dan berkaitan paru-paru," katanya dalam sidang media mingguan, di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Dr Adham berkata, setakat ini tiada mana-mana kes kematian yang dikesan berkait dengan pemberian vaksin COVID-19 dilaporkan di negara ini.

Walau bagaimanapun, katanya terdapat beberapa kes yang telah dihantar ke Kementerian Kesihatan (KKM) untuk diteliti bagi tuntutan di bawah Tabung Mudarat Vaksinasi Kebangsaan.

Jelas beliau, kes berkenaan akan dinilai oleh tiga jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Farmakovigilans Khas bagi Pemantauan Vaksin COVID-19; Jawatankuasa Teknikal Perubatan dan Jawatankuasa Induk.

"Keputusan akan dinyatakan dalam masa terdekat," katanya.

COVID-19 | Kadar kematian kini pada tahap 0.45 peratus

Sebelum ini, Dr Adham berkata sebanyak RM500,000 akan diberi kepada penerima vaksin di negara ini, jika berlaku hilang upaya kekal atau kematian disebabkan vaksin COVID-19.

Bantuan RM50,000 pula diberi jika berlaku kesan sampingan yang serius kepada penerima vaksin yang memerlukan rawatan berpanjangan di hospital.