Skip to main content

Malaysia

4,800 daripada 6,000 penerima Insentif Haji Muassasah 2026 Selangor sudah terima bantuan - Amirudin

SHAH ALAM, 26 Ogos -– Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari (kiri) menyampaikan sumbangan Insentif haji kepada jemaah pada Majlis Penyerahan Sumbangan Insentif Haji Muassasah 1447H/2026M DUN Dengkil di Dewan Komuniti Putra Perdana hari ini.  Hadir sama Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Sepang Datuk Aiman Athirah Sabu (tengah).  Seramai 259 penerima Sumbangan Insentif Haji Muassasah 1447H/2026M bagi DUN Dengkil hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPE
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari (kiri) menyampaikan sumbangan insentif haji kepada jemaah pada Majlis Penyerahan Sumbangan Insentif Haji Muassasah 1447H/2026M DUN Dengkil di Dewan Komuniti Putra Perdana hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

SEPANG: Sebanyak 4,800 daripada 6,000 penerima Insentif Haji Muassasah 2026 di Selangor telah menerima bantuan berkenaan setakat ini, dengan penyaluran kepada semua penerima dijangka selesai menjelang September.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata baki lebih 1,000 penerima sedang dikenal pasti dan dihubungi bagi melengkapkan proses penyaluran bantuan itu.

“Kita percaya sampai hujung Ogos atau September nanti kita boleh selesaikan kesemua 6,000 penerima,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Insentif Haji Muassasah 2026 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil di Dewan Komuniti Putra Perdana, Puchong, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu merangkap Ahli Parlimen Sepang.

Amirudin berkata majlis itu melibatkan 259 penerima dan merupakan sebahagian daripada siri penyerahan bantuan kepada jemaah haji Muassasah di seluruh Selangor.

Kerajaan negeri melalui Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (Yayasan MBI) memperuntukkan RM9 juta bagi pelaksanaan Program Insentif Haji Muassasah 2026 yang memberi manfaat kepada 6,000 jemaah haji Muassasah di seluruh negeri.

Menerusi inisiatif itu, setiap penerima menerima RM1,500 sebagai bantuan persediaan menunaikan ibadah haji, termasuk bagi menampung kos kelengkapan ibadah, ubat-ubatan, pakaian dan keperluan lain.

Amirudin berkata kerajaan negeri menyasarkan untuk meningkatkan jumlah insentif itu kepada RM2,000 seorang pada masa akan datang, bergantung kepada kemampuan kewangan dan keadaan semasa.

“Kalau ikut perancangan mungkin 2027 ataupun maksimum 2028 kita akan cuba lengkapkan sampai RM2,000. Kita tengok kesesuaian dan pelaksanaan program ini dari semasa ke semasa.

“Kita tak boleh nak janji semua sebab kalau tiba-tiba kita ada kekangan kewangan, tetapi kita ada sasaran iaitu RM2,000 bila sampai masa,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement