Kira-kira 5,000 pelatih telah melapor diri untuk mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kumpulan 2 Siri 14/2017 setakat ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Mohamed Asri Yusof.

Beliau berkata pergerakan masuk pelatih PLKN kumpulan itu telah diadakan di 70 pusat berkumpul di seluruh negara pada Sabtu lepas.

"Latihan PLKN ini akan dijalankan sehingga 13 Sept di 27 kem PLKN di seluruh negara," katanya pada majlis sambutan hari raya Aidilfitri anjuran JLKN bersama agensi di bawah Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata masih terdapat pelatih yang belum mendaftarkan diri atas pelbagai faktor.

Terdahulu, Mohmed Asri menyampaikan sumbangan duit raya kepada lebih 20 anak-anak yatim dari Rumah Kasih Nurul Hasanah, Ampang yang turut diraikan dalam majlis sambutan hari raya Aidilfitri anjuran JLKN bersama enam agensi lain.

-- BERNAMA