KUALA TERENGGANU: Lima pelajar mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Khamis, kerana bersubahat serta melakukan amang seksual fizikal terhadap empat rakan lelaki mereka di Kuala Nerus, antara Ogos hingga Januari lalu.

Kesemua tertuduh yang berusia 14 hingga 17 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz dan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap empat rakan mereka yang berusia antara 12 dan 13 tahun sekitar  Ogos 2020 hingga Januari lalu di sebuah institusi swasta di Kuala Nerus.

Mereka berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a), Seksyen (b) dan Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak  2017 serta Seksyen 109 Kanun Keseksaan. 

Sementara itu, tiga daripada mereka turut berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat melakukan kesalahan itu.

Sejurus pengakuan bersalah direkodkan, mahkamah menetapkan 19 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mahkamah juga membenarkan semua remaja itu dijamin antara RM2,000 hingga RM4,000 setiap seorang.

Selain itu, kesemua tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu serta tidak boleh menganggu mangsa dan saksi pendakwaan sepanjang prosiding berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Ka Full dan Nur Nabihah Hanin Ayim, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.