Pergerakan Puteri UMNO mengenal pasti 50,548 orang daripada lebih 400,000 ahlinya yang berusia lebih 21 tahun dan layak bergelar pengundi belum berdaftar sebagai pemilih, kata ketuanya, Mas Ermieyati Samsudin, hari ini.

Justeru, beliau meminta pergerakan itu di setiap negeri melihat semula ahli Puteri yang belum berdaftar supaya mendaftarkan mereka bagi membantu kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilhan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Selain itu, beliau turut meminta semua ahli Puteri supaya menjejaki wanita berusia bawah 35 tahun yang menyokong UMNO tetapi belum berdaftar sebagai pemilih supaya membantu golongan berkenaan mendaftar sebagai pengundi.

Di Negeri Sembilan, seramai 2,034 orang daripada lebih 13,000 anggota Puteri yang layak mengundi, belum berdaftar sebagai pemilih, katanya kepada pemberita pada Majlis Perjumpaan Puteri UMNO Cawangan-Cawangan Seluruh Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Dalam acara lain di sini, Mas Ermieyati, yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, berkata kementeriannya menggalakkan pertubuhan dan persatuan seni budaya menganjurkan aktiviti kecergasaan yang mengangkat seni dan budaya di negara ini.

Katanya, program kebudayaan dalam konteks kecergasan seperti senaman Zafina (Zapin Fitness National) dapat membefri pendedahan kepada generasi muda tentang keunikan dan kehalusan identiti seni budaya masyarakat.

Keunikan Zafina ialah menggunakan rentak dan tarian zapin dalam bentuk senaman dengan juru bimbing turut memakai songket, katanya kepaad pemberita selepas merasmikan program 'Memperkasakan Budaya Senaman Malaysia 4 Jam Tanpa Henti' dan pelancaran Aplikasi Mobile Zafina, di sini.

Turut hadir Presiden Persatuan Kecergasan Zafina Malaysia, Yazid Abdul Rani dan Presiden Kelab Kecergasan Energetic Gemilang, Zalina Zainal.

Sementara itu, Yazid berkata pihaknya menyasarkan 50,000 pengguna telefon pintar akan memuat turun aplikasi Mobile Zafina dalam tempoh setahun.

Aplikasi ini dibangunkan bagi memberi panduan kepada mereka untuk merujuk pergerakan senaman Zafina, katanya.

-- BERNAMA