SANDAKAN: Maahad tahfiz baharu diingatkan supaya berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri bagi memudahkan penyelarasan bantuan daripada kerajaan Persekutuan, termasuk bantuan peruntukan bagi melancarkan operasi sekolah berkenaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pastinya akan membantu bagi melahirkan pusat-pusat tahfiz yang bakal melahirkan anak-anak yang hafal Al-Qur'an.

"Kerajaan memperuntukkan RM140 juta tahun ini untuk diagihkan ke seluruh negara bagi membantu daripada sudut infrastruktur dan pembinaan bangunan-bangunan tahfiz, dan sebahagian daripadanya (peruntukan) dibelanjakan untuk pengurusan maahad tahfiz itu sendiri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Maahad Tahfiz Al-Qur'an Wadi Syuib di Kampung Bonggaya Baru, Batu Sapi dekat sini hari ini.

Beliau turut menyumbang RM20,000 kepada Maahad Tahfiz Al-Qur'an Wadi Syuib untuk melengkapkan kemudahan sekolah supaya dapat beroperasi dengan baik.

Maahad tahfiz itu mengambil masa enam bulan untuk dibina oleh penduduk Kampung Bonggaya Baru dengan sokongan JAKIM dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sekong dan mula beroperasi sejak November lepas dengan 70 pelajar dari sekitar kawasan Batu Sapi.

-- BERNAMA