Lebih separuh daripada penghuni kondominium The Rise di Jalan SP Chelliah di sini tidak berpuas hati terhadap keadaan unit milik mereka dan kemudahan di situ.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata daripada 952 penghuni yang telah menerima kunci rumah mereka, 500 daripadanya telah menghantar surat aduan kepada pemaju berhubung kecacatan dan kerosakan di kondominium 1,048 unit itu.

"Antara aduan mereka berkaitan cat, kemasan lantai yang tidak sempurna, kekotoran di tingkap, retak di bahagian pintu, tombol yang berkarat dan macam-macam lagi," katanya dalam sidang media selepas melakukan tinjauan di kondominium itu pada Sabtu.

Chow yang juga pengerusi Perbadanan Kemajuan Pulau Pinang (PDC) berkata sebanyak 150 aduan kecacatan rumah telah diperbetulkan, namun PDC membenarkan penghuni membuat surat aduan lain jika terdapat isu lain yang timbul yang mereka mahu selesaikan.

Terdahulu, ketika tinjauan di tingkat 15 kondominium itu terdapat pelekat berwarna terang bersepah di koridor dan unit-unit rumah bagi menandakan kecacatan seperti permukaan yang tidak rata, jubin yang rosak, dinding dan siling yang retak dan juga pintu yang diperbuat daripada bahan yang berlainan.

Seorang mekanik, Henry Cheang, 33, antara pemilik unit seluas 800 kaki persegi (74.32 meter persegi) yang dibeli pada RM200,000, kecewa apabila terdapat banyak kecacatan terhadap rumah pertamanya itu.

"Saya sebenarnya mengharapkan yang lebih baik daripada keadaan ini, tidak sepatutnya kami dilayan seperti orang miskin," katanya yang menerima kunci rumah hujung bulan lepas.

Beliau turut menunjukkan kepada pemberita beberapa rekahan besar di siling di kawasan meletak kereta. Selain itu, sebahagian daripada kawasan parkir untuk golongan kurang upaya pula kini telah menjadi laluan air.

Seorang lagi pemilik, Syahirruddin Sanul Hamid, khuatir dengan langkah penyelesaian yang dilakukan bagi memperbetulkan isu yang melingkari bangunan itu.

Penjawat awam berumur 29 tahun itu berkata beliau telah membuat surat aduan berkenaan lubang yang terdapat pada pintu kayu untuk laluan kecemasan di tingkat enam, tetapi kini mendapati lubang itu telah ditampal secara sambil lewa dengan simen.

"Yang sangat peliknya, saya tinggal jauh di hujung kondominium ini, tetapi peti surat saya terletak di hujung bangunan sebelah yang lain," katanya.

-- BERNAMA