Skip to main content

Malaysia

52,750 unit Rumah Selangorku siap dibina hingga pertengahan 2026

SHAH ALAM, 5 Ogos -- Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor Datuk Borhan Aman Shah semasa sesi soal jawab sempena Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Selangor ke-15 di Dewan Negeri Selangor hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Borhan semasa sesi soal jawab sempena Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Selangor ke-15 di Dewan Negeri Selangor. - Gambar Bernama
Advertisement

SHAH ALAM: Sebanyak 52,750 unit Rumah Selangorku (RSKU) melibatkan 167 projek telah siap dibina dan diserahkan kepada pembeli setakat pertengahan 2026, persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor dimaklumkan hari ini.

Exco Perumahan dan Kebudayaan negeri Datuk Borhan Aman Shah berkata selain itu, sebanyak 34,287 unit RSKU melibatkan 68 projek lagi sedang dalam pembinaan bagi tempoh yang sama.

Beliau berkata pencapaian berkenaan menunjukkan pelaksanaan penyediaan rumah mampu milik di negeri itu berada pada landasan positif bagi mencapai sasaran yang ditetapkan kerajaan negeri.

“Bagi memastikan lebih banyak rumah mampu milik berharga di bawah RM250,000 dapat disediakan, kerajaan negeri melaksanakan Dasar RSKU 3.0 yang menetapkan komposisi penyediaan RSKU mengikut zon dan keluasan pembangunan.

“Selain itu, kerajaan negeri turut memperkenalkan beberapa insentif kepada pemaju termasuk pengecualian 100 peratus Caj Pemajuan serta pelaksanaan Dasar RSKU Harapan dan Rumah Idaman MBI Selangor bagi menggalakkan penyediaan lebih banyak rumah mampu milik,” katanya.  

Beliau menjawab pertanyaan Yew Jia Haur (PH-Teratai) berhubung status terkini pembinaan dan penyerahan unit RSKU hingga pertengahan 2026.

Dalam pada itu, Borhan berkata bagi projek yang mengalami kelewatan atau dikategorikan sebagai projek sakit, kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) melaksanakan langkah intervensi meliputi aspek pemantauan, penguatkuasaan dan pentadbiran bagi memastikan projek dapat dipulihkan serta disiapkan mengikut perancangan.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap pemaju yang gagal mematuhi jadual pelaksanaan projek termasuk pengeluaran notis pematuhan, pelaksanaan pelan pemulihan dan arahan henti kerja.

“Selain itu, sekatan terhadap pertimbangan permohonan pembangunan baharu serta syarat tambahan bagi kelulusan projek turut akan dilaksanakan,” katanya.  

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement