MALAYSIA
55 tahun Rukun Negara terus jadi tonggak perpaduan

Falsafah negara diperkenalkan pada 31 Ogos 1970 susulan peristiwa 13 Mei 1969 itu, perlu menjadi pegangan dan amalan rakyat Malaysia dari bangku sekolah sehingga ke peringkat masyarakat umum. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Lima puluh lima tahun selepas diisytiharkan, Rukun Negara terus kukuh sebagai panduan hidup rakyat Malaysia dan tonggak utama membina jati diri bangsa serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Falsafah negara diperkenalkan pada 31 Ogos 1970 susulan peristiwa 13 Mei 1969 itu, perlu menjadi pegangan dan amalan rakyat Malaysia dari bangku sekolah sehingga ke peringkat masyarakat umum.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Nawi @ Mohd Nawi Ismail berkata, Rukun Negara bukan sekadar slogan, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian merangkumi pelbagai aspek seperti sosial, politik, ekonomi dan keagamaan.
"Jika sekadar dibaca tanpa penghayatan, maka ia hanya tinggal sebagai dokumen bertulis sedangkan Rukun Negara garis panduan dan landasan menjamin keharmonian negara," katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.Mengulas cabaran semasa seperti isu politik, identiti serta 3R (agama, kaum dan institusi diraja), Nawi menjelaskan penghayatan sebenar Rukun Negara mampu mewujudkan masyarakat MADANI seperti diketengahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, prinsip Rukun Negara merangkumi lima teras utama iaitu mencapai perpaduan lebih erat, memelihara cara hidup demokratik, mewujudkan masyarakat adil, menjamin sikap liberal terhadap tradisi budaya serta membina masyarakat progresif menggunakan sains dan teknologi moden.
"Prinsip Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan merupakan tonggak keharmonian negara. Jika diamalkan sepenuhnya, kita mampu mengelakkan provokasi melampau dalam isu sensitif," katanya.
Nawi berkata, kemerdekaan yang dicapai melalui rundingan menunjukkan betapa pentingnya rakyat mengekalkan semangat patriotisme supaya Malaysia terus aman dan stabil sebagai negara berdaulat.
Selain itu, beliau berpandangan, walaupun prinsip Rukun Negara telah diterapkan di sekolah, institusi pengajian tinggi serta jabatan kerajaan, namun, usaha itu belum mencukupi dalam konteks dunia tanpa sempadan dan kemajuan teknologi digital masa kini.
"Penghayatan perlu diperkukuh melalui aktiviti kemasyarakatan melibatkan komuniti pelbagai kaum bagi memastikan semua pihak memahami dan mempraktikkan prinsip Rukun Negara secara nyata," katanya yang mencadangkan pengembangan kursus etika dan peradaban melalui program kemasyarakatan.
Nawi berkata, prinsip Kesopanan dan Kesusilaan amat penting dalam membentuk warganegara beradab dan menyokong kempen budi bahasa, selain penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi perlu diperkukuh dalam kalangan rakyat tanpa mengira latar belakang.
Sementara itu, bekas Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Ainul Jaria Maidin berkata dasar kerajaan perlu menyokong penghayatan Rukun Negara secara holistik dengan mempromosikan kesepaduan melalui program kemasyarakatan, keagamaan, sukan dan kebudayaan.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerjasama dengan ketua agama dan kaum penting bagi memastikan program dilaksanakan benar-benar mencerminkan nilai universal selari dengan prinsip Rukun Negara.
Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan formal dan kurikulum bagi memperkukuh kefahaman generasi muda dan perlu disokong kempen kesedaran secara meluas di semua platform media.
Mengulas Kempen Taat Setia Rukun Negara, Ainul Jaria berkata, penganjuran kempen seperti itu perlu berterusan melalui televisyen, radio dan media sosial untuk memupuk semangat patriotisme, bukannya dibuat secara bermusim.
Ainul Jaria berkata, kempen harus selaras dengan prinsip Malaysia MADANI serta matlamat Rukun Negara dan perlu meliputi program kesedaran seperti tanggungjawab memerangi rasuah, jenayah siber serta kegiatan tidak bermoral yang mengancam perpaduan negara.
Beliau juga mencadangkan penggunaan infografik dalam empat bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat berbilang kaum.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami