Skip to main content

Malaysia

5,862 kes keganasan rumah tangga direkod setakat September 2026 - Nancy

Nancy menyampaikan ucapan perasmian Simposium Pengukuhan Polisi Kepada Realiti Keganasan Rumah Tangga : Mendepani Cabaran dan Pemerkasaan Institusi Kekeluargaan hari ini.  - Foto Bernama
Nancy menyampaikan ucapan perasmian Simposium Pengukuhan Polisi Kepada Realiti Keganasan Rumah Tangga : Mendepani Cabaran dan Pemerkasaan Institusi Kekeluargaan hari ini. - Foto Bernama

Ringkasan AI

  • Polis Diraja Malaysia merekodkan 5,862 kes keganasan rumah tangga dari Januari hingga September tahun ini, menunjukkan isu ini masih memerlukan perhatian serius.
  • Kadar kes keganasan rumah tangga meningkat 3.9 peratus pada 2025 kepada 7,391 kes berbanding 7,116 kes pada tahun sebelumnya.
  • KPWKM melaksanakan pelbagai inisiatif dan menekankan keperluan kerjasama pelbagai pihak untuk menangani isu keganasan rumah tangga secara menyeluruh.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 5,862 kes keganasan rumah tangga direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, menunjukkan isu berkenaan masih memerlukan perhatian serius serta tindakan bersepadu pelbagai pihak. 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata kes keganasan rumah tangga di negara ini meningkat 3.9 peratus pada 2025 kepada 7,391 kes berbanding 7,116 kes pada tahun sebelumnya.

“Di sebalik setiap angka itu ada individu dan keluarga termasuk kanak-kanak yang memerlukan perlindungan, sokongan dan pemulihan,” katanya ketika berucap pada Simposium Pengukuhan Polisi Kepada Realiti Keganasan Rumah Tangga: Mendepani Cabaran dan Pemerkasaan Institusi Kekeluargaan di sini, hari ini.

Advertisement

Beliau berkata keganasan rumah tangga bukan sahaja melibatkan kecederaan fizikal, malah merangkumi penderaan emosi dan psikologi, keganasan seksual, ugutan, perbuatan mengurung atau menyekat pergerakan, kerosakan harta benda serta kawalan kewangan.

Perkembangan teknologi digital turut mewujudkan bentuk keganasan baharu seperti pengawasan, gangguan dan ugutan menggunakan teknologi, yang boleh meninggalkan kesan emosi serta psikologi berpanjangan terhadap mangsa.

Advertisement

Sehubungan dengan itu, Nancy berkata pendekatan menangani isu berkenaan perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan merangkumi aspek pFencegahan, intervensi awal, pemulihan dan pemerkasaan, dan tidak hanya tertumpu kepada perlindungan selepas insiden berlaku.

Beliau berkata Dasar KASIH Keluarga Negara (DKKN) 2026-2030 dilancarkan sebagai respons terhadap perubahan demografi, peningkatan risiko sosial, ketidakseimbangan antara kerja dengan keluarga, isu kesihatan mental, perkembangan teknologi digital serta dinamika keluarga yang semakin kompleks.

Dalam usaha memperkukuh ekosistem perlindungan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut melaksanakan beberapa inisiatif, termasuk Program Wonderful Life oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, Program Advokasi Kesejahteraan untuk Wanita@Keganasan Rumah Tangga oleh Jabatan Pembangunan Wanita serta memperkasakan Program Sukarelawan Skuad WAJA.

Beliau berkata usaha menangani keganasan rumah tangga memerlukan kerjasama semua pihak dan tidak boleh digalas oleh satu agensi sahaja.

“Isu keganasan rumah tangga ini isu nasional, kita memerlukan sinergi ekosistem, semangat kerja sepasukan dan kolaborasi merentas kementerian, agensi, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta seluruh lapisan masyarakat,” katanya.

Nancy berkata simposium itu menjadi platform untuk mendapatkan pandangan pihak berkepentingan dan pemandiri bagi mengenal pasti cabaran, serta merangka penambahbaikan terhadap mekanisme sokongan dan perlindungan kepada mangsa.

Simposium itu berlangsung dalam dua siri, dengan siri pertama diadakan hari ini hingga esok di Kuala Lumpur, manakala siri kedua dijadualkan berlangsung pada pertengahan November di Kelantan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement