KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk mengembalikan semula kertas siasatan berkaitan kes kehilangan wang AS$6.94 juta.

Ia selepas AGC mengkaji dan meneliti kertas siasatan kes tersebut, yang diterima pada 28 Sept lalu daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Jabatan Peguam Negara mendapati wujud kesalahan-kesalahan lain yang memerlukan siasatan lanjut dilakukan oleh agensi penguatkuasaan yang berkaitan," menurut AGC dalam kenyataan hari ini.

SPRM sebelum ini menahan tiga pegawainya selepas bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid membuat laporan kehilangan sejumlah besar wang tunai yang dirampas dalam siasatan terhadapnya pada 2018.

Hasanah didakwa pada 2018 dalam kes pecah amanah (CBT) yang melibatkan RM50.4 juta milik kerajaan.

BACA: AS$6.94 juta hilang: Jabatan Peguam Negara terima kertas siasatan SPRM

SPRM merampas wang tunai dan barang-barang lain daripadanya berkaitan dengan siasatan itu.

Pada April, mahkamah memutuskan Hasanah dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan dan perbicaraan kes.

Berikutan itu, beliau ke SPRM untuk menuntut wang tunai yang dirampas dan mendapati RM25 juta telah hilang.