Skip to main content

Malaysia

60 graduan KPS Berhad diraikan, fokus penjagaan warga emas berkeperluan khas

KPS Berhad
Majlis Graduasi KPS Berhad Caregiver Initiative 2026 berlangsung di Petak Padin Cottage, Kepala Batas, Pulau Pinang. - Gambar KPS Berhad
Advertisement

PULAU PINANG: Seramai 60 graduan diraikan selepas berjaya menamatkan latihan KPS Berhad Caregiver Initiative 2026 yang memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga penjaga warga emas berkemahiran, khususnya bagi memenuhi keperluan penjagaan warga emas berkeperluan khas.

Inisiatif pelaburan sosial Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad) itu dilihat sebagai usaha memperkukuh tenaga kerja tempatan dalam sektor penjagaan warga emas yang semakin berkembang, selain menyediakan laluan kemahiran dan kerjaya kepada peserta.

Ketua Pegawai Kelestarian KPS Berhad, Zul Mawardi berkata, peningkatan populasi warga emas memerlukan Malaysia membangunkan ekosistem penjagaan yang lebih tersusun, profesional dan berdaya tahan.

“Keperluan penjagaan warga emas tidak boleh dilihat sebagai isu keluarga semata-mata. Ia merupakan satu keperluan sosial yang semakin penting.

“Melalui KPS Berhad Caregiver Initiative, kami mahu membangunkan tenaga kerja tempatan yang mempunyai kemahiran, keyakinan dan laluan kerjaya yang jelas, sambil membantu keluarga kepada warga emas untuk mendapatkan akses kepada penjagaan yang lebih berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Antara pusat jagaan yang terlibat ialah Big Tree Medicare & Nursing Home, Pusat Jagaan Jawi dan Pusat Jagaan Warga Emas Darul Hanan.

Dalam pada itu, penilaian impak program mendapati 80 peratus peserta mampu menjana pendapatan sehingga RM2,000 sebulan sebagai penjaga bebas.

KPS Berhad berkata, kesemua graduan yang mengikuti inisiatif itu sejak 2019 turut berjaya memperoleh pekerjaan dalam bidang penjagaan warga emas, termasuk bersama penyedia perkhidmatan kesihatan, pusat jagaan dan majikan di seluruh negara.

"Pencapaian itu membuktikan pembangunan kemahiran bukan sekadar memberi latihan dan pensijilan, malah membuka peluang pekerjaan serta berpotensi meningkatkan tahap sosioekonomi peserta, khususnya golongan berpendapatan rendah dan asnaf," tambahnya. 

Must Watch Video

Advertisement