KUALA LUMPUR: Enam dekad penubuhan Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) menyaksikan lebih 12,000 anak muda Malaysia menerima sokongan menerusi biasiswa, bantuan kewangan dan program pembangunan kepimpinan.
Sejak ditubuhkan pada 1966, sebanyak RM96.6 juta telah disalurkan kepada penerima merentasi kaum dan agama bagi membantu individu melanjutkan pengajian, membangunkan potensi diri serta membina kepimpinan.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, peranan YTAR kini tidak lagi terhad kepada pemberian biasiswa, sebaliknya turut memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti bakat, membuka akses pendidikan serta membangunkan potensi anak muda, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah dan komuniti yang kurang mendapat peluang.
“Peranan Yayasan bukan lagi sekadar menyediakan biasiswa tetapi mengenal pasti bakat, membuka akses dan membangunkan potensi anak muda,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-60 YTAR di ibu negara, pada Khamis.
Menurut beliau, landskap pendidikan yang semakin terbuka masih belum menjamin peluang yang sama rata apabila sebahagian anak muda berdepan kekangan kewangan, akses kepada maklumat, jaringan sokongan dan peluang pembangunan diri.
Justeru, YTAR akan terus memperkasa sokongan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan komuniti yang kurang mendapat peluang, selain memperluas usaha mengenal pasti bakat serta memperkukuh pembangunan kepimpinan, bimbingan dan jaringan alumni.
Enam dekad perjalanan YTAR turut disokong lebih 300 organisasi dan rakan strategik, termasuk pihak korporat, kerajaan dan individu, yang bersama-sama membuka lebih banyak peluang kepada anak muda Malaysia.
Antara bukti impak YTAR ialah Zakaria Ali dan Ch’ng Kim See yang merupakan antara penerima terawal bantuan Yayasan itu.
Zakaria menerima biasiswa pada 1968 untuk melanjutkan pengajian Seni Halus di Southwestern University, Texas, sebelum membina legasi sebagai pelukis, penulis, pendidik dan tokoh akademik, manakala Kim See menerima biasiswa pada 1967 untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Sastera di Universiti Malaya sebelum menjadi tokoh berpengalaman dalam bidang Sains Perpustakaan dan Maklumat di peringkat serantau.
Ketua Pegawai Eksekutif YTAR, Kularetnam Vijayakumar, berkata pencapaian Yayasan itu bukan hanya terletak pada menyediakan sokongan pendidikan, tetapi turut membina generasi yang mampu menyumbang semula kepada masyarakat dan negara.
Menurutnya, perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) juga perlu bergerak seiring dengan penerapan nilai moral dan nilai murni supaya kejayaan anak muda tidak hanya diukur berdasarkan pencapaian individu.
“Pencapaian terbesar YTAR adalah untuk fokus pada objektif kami iaitu pemberian sokongan dan biasiswa pada golongan yang memerlukannya iaitu anak muda dari golongan yang mungkin berpendapatan rendah untuk menyokong anak muda tersebut, untuk membina mereka menjadi individu yang mampu menyokong dan membina satu masyarakat yang lebih baik,"
“Dalam dunia AI dan teknologi pada masa ini, kepentingan nilai murni amat penting bagi memastikan anak muda terus menyumbang kepada negara,” jelasnya.
Dalam pada itu, sempena ulang tahun ke-60, YTAR turut membuka pencalonan Anugerah Pingat Tunku 2026 mulai 31 Ogos hingga 30 September.
Buat julung kalinya, pencalonan persendirian turut dibuka kepada graduan institusi pendidikan tinggi awam dan swasta di seluruh Malaysia.
Penerima Anugerah Pingat Tunku berpeluang menerima ganjaran wang tunai serta geran projek dengan jumlah keseluruhan sehingga RM44,000 bagi menterjemahkan idea kepada tindakan dan menghasilkan impak kepada masyarakat.