KUALA TERENGGANU: Sebanyak 62 ceramah politik sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu dibatalkan bagi menghormati kemangkatan bonda Sultan Terengganu, Tengku Besar Terengganu, Fatimah @ Sharifah Nong Alsagoff Abdillah.

Ketua Urusetia PRN Polis Kontinjen Terengganu, Asisten Komisioner Noor Halim Nordin berkata, kesemua ceramah yang dibatalkan itu dijadualkan berlangsung pada Khamis.

Jelas beliau, sebanyak 68 permohonan mengadakan ceramah politik dari parti-parti bertanding diluluskan pada Khamis iaitu 21 permohonan dari Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) (43) dan masing-masing dua permohonan dari Pakatan Harapan (PH) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

"Ketika membuat pemantauan kita dapati 62 ceramah telah dibatalkan bagi menghormati kemangkatan Allahyarham Tengku Besar Terengganu, Fatimah @ Sharifah Nong Alsagoff Abdillah yang mangkat awal pagi Khamis," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Noor Halim berkata, semua calon dan penyokong dinasihatkan untuk melakukan aktiviti kempen secara berhemah bagi mengelak wujud sebarang bentuk provokasi.

"Semua calon dan penyokong parti bertanding perlu terus melakukan aktiviti kempen secara berhemah dan bersopan agar tidak menimbulkan sebarang bentuk provokasi dan mengelak insiden tidak diingini," katanya.

Terdahulu, Allahyarham dilaporkan mangkat di Kuala Lumpur pada jam 3.17 pagi Khamis.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Mohd Sophian Abu Bakar berkata, jenazah Allahyarham dibawa dari Kuala Lumpur ke Terengganu dengan menggunakan pesawat khas pada tengah hari Khamis.

Jenazah Allahyarham disemadikan di Makam Diraja Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang pada petang Khamis. - Sinar Harian