PUTRAJAYA: Seramai 65 pelajar Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya dijangkiti COVID-19.

Perkara itu disahkan Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin dalam rakaman video di akaun Facebook dan Twitternya malam ini.

Katanya, mereka sudah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, hari ini.


Beliau berkata, kes mula dikesan di sekolah tersebut selepas seorang guru disahkan positif COVID-19.

Beliau menjelaskan selepas saringan kontak rapat dilakukan, seorang lagi guru dan enam pelajar disahkan turut positif COVID-19.

"Enam pelajar yang positif ini sekarang ini berada di sekolah dan berada di bawah pemantauan pihak sekolah.

"Dalam usaha Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk mengurangkan jumlah pelajar yang berada di asrama, pihak PKD telah melaksanakan saringan kontak rapat terhadap lebih 200 pelajar hari ini.

"Daripada 200 pelajar ini, 65 orang telah didapati positif dan dibawa ke MAEPS untuk pemantauan manakala baki pelajar lain akan dilaksanakan saringan pada esok (Khamis)," katanya yang turut meninjau sekolah berkenaan malam ini.

Radzi menjelaskan pihaknya sentiasa bekerjasama rapat dengan PKD bagi memastikan pelajar di sekolah tersebut berada dalam keadaan selamat.

Terdahulu tular mengenai jangkitan COVID-19 dalam kalangan pelajar sekolah itu hingga menimbulkan kebimbangan ibu bapa.