Polis menahan 65 orang termasuk pengunjung pusat hiburan kerana kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada hari ke-19 pelaksanaannya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 36 orang direman dan 29 lagi dikenakan kompaun.

"PDRM (Polis Diraja Malaysia) telah menahan 65 individu atas kesalahan ingkar PKPP. Inilah bukti apa yang saya sebutkan (sebelum ini) bahawa pihak berkuasa terus memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

"Antara aktiviti terlarang yang melanggar SOP termasuklah acara dan pertandingan sukan, aktiviti karaoke dan pusat hiburan, serta aktiviti judi atas talian secara beramai-ramai," katanya dalam sidang media PKPP di sini pada Isnin.



Selain itu, 3,891 pasar raya, 5,299 restoran serta 1,940 penjaja, 921 kilang, dan 1,670 pasar awam atau pasar tani telah diperiksa.

Katanya, turut diperiksa adalah 3,729 tempat ibadat serta 1,467 tempat riadah.

Sementara itu, katanya Operasi Benteng yang melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) mengawal sempadan dengan ketat.

"Sejak dari 1 Mei sehingga semalam, seramai 1,115 PATI (pendatang tanpa izin) dan 204 tekong telah ditahan kerana cuba memasuki sempadan negara secara haram terutama melalui lorong-lorong tikus. Turut
ditahan 76 individu yang disyaki penyeludup serta 36 buah kapal," ujarnya lagi.

Katanya, PDRM juga telah membuat 68 sekatan jalan raya (SJR) Operasi Benteng dan memeriksa 43,207 kenderaan bagi mengekang kemasukan PATI.

"PDRM telah berjaya menahan lima warga asing di SJR Operasi Benteng atas kesalahan imigresen.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan tidak akan berkompromi terhadap mereka yang terlibat dalam penyeludupan masuk PATI," tambahnya.